• newsatmy

Majoriti di Dewan Rakyat, Sokong Membawa Rebah?




Undian Belanjawan 2021 untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat hari ini boleh diukur sebagai medan pertembungan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim di dalam meraih sokongan pemimpin UMNO berpengaruh seperti presidennya, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Seri Najib Razak.


Sidang media bersama Tun Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh mungkin akan mencetuskan persaingan baru di kalangan pemimpin utama politik ketika Anwar sebelum ini, berulang kali mendakwa dia memiliki sokongan yang kuat, utuh dan meyakinkan di Dewan Rakyat.


Susulan sidang media dua tokoh politik tanah air yang berpengalaman itu, sudah pasti akan mewujudkan persaingan baru di dalam usaha merebut majoriti di parlimen. Sekiranya pertembungan hidup dan mati itu berlaku, Najib dan Zahid berkeyakinan yang mereka ada bilangan kerusi untuk bukan sahaja menentukan siapa yang akan menjadi perdana menteri malah penentu untuk mengekalkan Muhyiddin sebagai perdana menteri atau Anwar yang ingin menjadi perdana menteri.


Najib dan Zahid akan memastikan perdana menteri masih berada di bawah kawalannya demi kelangsungan politik dan kuasa, walaupun rakyat sudah sedia maklum Najib telah pun didapati bersalah sudah disabitkan dengan hukuman yang bersesuaian setelah diputuskan oleh mahkamah dan di dalam proses rayuan terhadap sabitan rasuah tersebut selain sejumlah lagi pendakwaan di mahkamah yang akan dibicarakan tidak lama lagi.


Di pihak Zahid pula, beliau berdepan 47 pertuduhan jenayah dan boleh menyertai Najib sebagai orang yang disabit bersalah sekiranya terbukti kesalahan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.


Bagi memastikan kehidupan mendatang mereka lebih terjamin dan penjara adalah bukan pilihan, mereka tentunya membuat timbang-tara pilihan yang ada yang lebih memihak kepada mereka sebelum memutuskan sokongan yang akan diberi.


Ada kemungkinannya yang pertuduhan terhadap Najib dan Zahid telah pun dibawa dan dibincangkan dengan Perdana Menteri Muhyiddin dan keputusan Muhyiddin mungkin lebih cenderung untuk tidak memihak kepada mereka. Ini dapat dilihat secara tersirat apabila sejak kebelakangan ini Najib dan Zahid terus menyerang kerajaan Perikatan Nasional.


Cakap-cakap orang politik seolah-olah memberi gambaran yang Najib dan Zahid mungkin telah mengadakan perjumpaan sulit dengan Anwar dan oleh sebab itu kedengaran seperti ada kerjasama di kalangan mereka untuk menumbangkan Muhyiddin.


Kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang selaras dengan calon perdana menteri mungkin lebih banyak membantu Najib dan Zahid berbanding Muhyiddin yang memegang tampuk kuasa pemerintahan pada masa ini


Dengan segala pertimbangan dan agenda peribadi pemimpin-pemimpin ini, masalah rakyat dan negara bukanlah keutamaan mereka dan mereka pastinya akan menyokong sesiapa yang paling menguntungkan mereka


Tun Dr Mahathir Mohamad pula sering mengulangi pendiriannya untuk menolak sebarang bentuk kerjasama dengan bekas perdana menteri Najib Razak bagi membentuk kerajaan baru. Pendirian beliau juga tidak berubah terhadap ahli parlimen UMNO dan BN yang mempunyai kes mahkamah dan ini menyangkal tuduhan penyokong Najib yang mengatakan Tun Mahathir bencikan Najib di atas sebab-sebab peribadi.


Atas sebab ini, bagi Zahid dan Najib, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukanlah pilihan mereka untuk disokong sebagai Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.