top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Majukan negara dengan segera – Muhyiddin Yassin

17 NOVEMBER 2021

MASJID TANAH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, sebarang usaha untuk meningkatkan pencen bekas tentera harus mengambil kira kedudukan kewangan negara.


Ini kerana ia membabitkan kos yang tinggi sedangkan negara masih dalam peringkat pemulihan ekonomi selepas dibelenggu masalah pandemik COVID-19.


Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar terus membantu usaha memajukan ekonomi negara dengan bekerja kuat dalam pelbagai sektor yang mampu menjana pendapatan negara.


Muhyiddin berbual dengan penduduk Taman Seri Aman, Masjid Tanah di Warung Maznah, Masjid Tanah


“Kita harus memajukan negara kita dengan segera, adakan banyak perindustrian supaya lebih ramai rakyat mempunyai pekerjaan dan wang untuk berbelanja,” katanya.


Beliau menjelaskan, kerajaan sentiasa berusaha menjaga kebajikan rakyat dan untuk untuk tujuan itu, rakyat harus

memilih kerajaan yang stabil dan kukuh.


Beliau berkata demikian ketika bersarapan dengan penduduk Taman Sri Aman di Warung Maznah, di sini hari ini.


Muhyiddin dan calon Ayer Limau dari PN-BERSATU, Dr Nordina Abdul Latif meluangkan kira-kira setengah jam beramah mesra dengan penduduk.


Sementara itu, sekumpulan bekas tentera yang menikmati juadah meluahkan perkara yang terbuku dalam hati mereka kepada Muhyiddin. Kumpulan itu yang diwakili Bahari Ali, 60, menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pembayaran pencen yang didakwa mereka tidak mampu menampung kenaikan kos sara hidup

sekarang.


Bahari berkata, dengan pencen tidak sampai RM700 sebulan selepas berkhidmat 23 tahun dalam Tentera Darat Malaysia (TDM), beliau terpaksa menternak lembu dan kambing untuk menampung perbelanjaan harian.


“Pencen tidak sampai RM700 mana boleh kami hidup, jadi terpaksalah saya menternak lembu dan kambing untuk menambah pendapatan.


“Saya harap kerajaan boleh menimbang menaikkan sedikit pencen bekas tentera kerana harga barang makanan dan barang lain sekarang mahal,” katanya.


Kerusi Ayer Limau menjadi rebutan antara Dr Nordina dengan Hameed Mytheen Kunju Basheer dari Barisan Nasional dan Mazenah Baharuddin (Pakatan Harapan).


Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi berkenaan dimenangi Datuk Amiruddin Yusof (BN) dengan undi majoriti 1,479.

bottom of page