top of page
  • Farah

Malayan Tigress, skuad B-17 diingat manfaat peluang lonjak nama negara


KUALA LUMPUR 9 April: Pasukan bola sepak wanita dan skuad Bawah 17 Tahun (B-17) kebangsaan diingatkan supaya memanfaatkan sebaik mungkin peluang menjalani latihan dan beraksi di luar negara sekali gus dapat melonjakkan lagi nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Peringatan itu diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahukan barisan pemain Malayan Tigress dan skuad B-17 negara, masing-masing mempamerkan persembahan terbaik pada kejohanan yang bakal disertai tidak lama lagi.


"Pengalaman beraksi untuk negara tidak harus disia-siakan kerana peluang ini hadir kepada pemain-pemain terpilih dan istimewa sahaja. Saya percaya tidak kira skuad B-17 mahupun skuad wanita mampu untuk mencipta kejutan pada saingan Piala Asia B-17 dan Sukan SEA 2023 nanti.

"Berikan komitmen serta dedikasi anda disulam dengan doa kepada negara, saya percaya kejayaan pasti akan menjadi milik kita," katanya dalam hantaran di Facebook rasmi FAM hari ini.

Hamidin juga mengingatkan barisan pemain untuk kekal fokus semasa sesi latihan dan menunjukkan konsistensi dalam setiap perlawanan.


Skuad B-17 kendalian Osmera Omaro akan berlepas ke Doha, Qatar hari ini bagi menjalani latihan di Akademi Aspire dan dijadual beraksi dalam beberapa aksi persahabatan di sana sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Asia B-17 2023 di Thailand bermula 15 Jun hingga 2 Julai ini.


Skuad Malayan Tigress bimbingan Soleen Al-Zoubi pula kini sedang menjalani kem latihan pusat di Wisma FAM di Kelana Jaya dari 5 hingga 29 April sebagai persiapan menghadapi cabaran Sukan SEA 2023 di Kemboja, bulan depan.


Semalam, Hamidin meluangkan masa berbuka puasa bersama barisan pemain serta staf kejurulatihan skuad Malayan Tigress dan skuad B-17 di sebuah hotel di Petaling Jaya.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page