top of page
  • zaman

Malaysia kekal catat momentum perdagangan kukuh RM256.91 bilion bulan September


KUALA LUMPUR, 20 Okt- Malaysia kekal mencatatkan momentum perdagangan kukuh bagi September 2022 berjumlah RM256.91 bilion. Prestasi bagi bulan tersebut meningkat 31.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas sekali gus merekodkan pertumbuhan dua angka bagi 20 bulan berturut-turut. Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), eksport berkembang 30.1 peratus kepada RM144.31 bilion, pertumbuhan dua angka bagi 14 bulan berturut-turut. Pertumbuhan eksport disumbangkan antaranya oleh permintaan kukuh barangan elektrik dan elektronik, keluaran petroleum, gas asli cecair serta jentera, kelengkapan dan peralatan.


Eksport ke negara-negara rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun turut merekodkan pertumbuhan dua digit. Sementara itu, import mencatatkan pertumbuhan 33 peratus kepada RM112.60 billion. Manakala lebihan dagangan mencatat rekod tertinggi baharu, apabila meningkat 20.9 peratus kepada RM31.71 bilion. Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan berkembang 32.9 peratus kepada RM2.13 trilion ringgit berbanding tempoh sama tahun lepas.

bottom of page