• Arissa

Malaysia masih negara yang baik untuk melabur - Pelabur AS

15 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia masih negara yang baik untuk melabur walaupun mempunyai sedikit masa yang sukar akibat pandemik COVID-19, kata pelabur dari Amerika Syarikat, Bernhard Schutte.


Schutte, Pengerusi TAPiO Management Advisory Sdn Bhd, yang juga memiliki beberapa syarikat lain di Malaysia telah melabur di sini sejak 15 tahun lalu.


Mengaku separuh dirinya sudah seperti warga negara Malaysia, Schutte mengulas laporan baru-baru ini yang menyatakan pelabur dari beberapa negara meninggalkan Malaysia atas sebab-sebab tertentu.


"Pelabur yang dilaporkan meninggalkan Malaysia bukan kerana negara ini tidak bagus.


"Setiap kali anda mempunyai situasi seperti COVID-19, seluruh dunia mengalami kegawatan ekonomi dan sekarang ini seluruh dunia juga sedang berjuang dan sudah tentu banyak syarikat mempertimbangkan semula pelaburan masing-masing dalam usaha mengurangkan perbelanjaan.


“Jadi, apabila mereka melihat ada keperluan untuk menjimatkan perbelanjaan mengurus, sudah tentu mereka mahu memastikan perniagaan mereka di negara asal tidak terjejas.


"Kebanyakan syarikat yang meninggalkan negara ini disebabkan mengalami kemerosotan perniagaan di negeri asal mereka," katanya kepada DagangNews.com melalui temu bual telefon di sini hari ini.


Schutte berkata, terdapat tindak balas yang berlebihan (overreaction) dan sudah tentu apabila syarikat-syarikat itu mahu meninggalkan negara ini, mereka malu untuk mengatakan kemerosotan mereka di negara asal – jadi, mereka cuba mencari alasan.


“Jika kita perhatikan keadaan COVID-19 ini melanda di merata dunia.


"Kita kenal banyak ahli perniagaan di Thailand, Indonesia, mereka semua menghadapi situasi yang sama seperti di Malaysia di mana mereka perlu meninggalkan negara yang mereka melabur kerana perlu mahu memastikan perniagaan di negara asal dikekalkan.


"Jadi, saya tidak fikir orang yang meninggalkan Malaysia kerana negara ini tidak bagus, jika tidak saya pun akan ikut sama,” tegas beliau.


Sememangnya ujar beliau, Malaysia mengalami sedikit masa yang sukar kerana COVID-19 dan terdapat sedikit ketidaktentuan politik.


"Sama seperti negara lain, jika anda melihat Indonesia dan Thailand juga mempunyai masalah yang sama, seperti Malaysia, begitu juga dengan Jerman, Belgium, dan Perancis.


“Semua negara sedang bergolak dengan ahli politik, termasuk di Australia, mereka telah berjuang dengan ahli politik masing-masing," katanya.


Menurut Schutte, COVID-19 bukanlah sesuatu yang berlaku dalam setiap 10 tahun atau 20 tahun, di mana ahli politik boleh berkata – “Baiklah, kita kini boleh mengawal keadaan”.

Katanya, setiap negara melakukan banyak kesilapan dalam menangani COVID-19.


"Tidak ada negara yang boleh mengatakan mereka mempunyai penyelesaian yang sempurna untuk menangani pandemik ini.


“Jadi setiap negara menyalahkan ahli politik tidak kira di mana mereka berada ... dan apabila melibatkan keadaan pandemik, saya mesti katakan walaupun Malaysia menghadapi masalah dengan keadaan politik tidak menentu tetapi apabila memberi vaksin kepada rakyat, mereka melakukan terbaik dibandingkan dengan banyak negara lain di mana 400,000 rakyat Malaysia diberi vaksin pada satu hari,” katanya.


Ditanya mengenai prestasi syarikatnya semasa wabak itu, Schutte berkata, pihaknya mempunyai beberapa syarikat di Malaysia dan prestasinya bergantung kepada bidang apa yang diceburi.


"Salah satu syarikat yang kami miliki ialah “Happy Water” yang membekalkan air minuman kepada pejabat pejabat masih beroperasi dengan baik. Ini kerana air adalah satu keperluan kerana orang ramai mesti minum air tidak kira apa.


“Walaubagaimanapun, ia menjadi cabaran besar untuk memastikan syarikat yang dibekalkan air minuman itu terus beroperasi kerana ramai pekerja bekerja dari rumah. Sekarang ini, selain dari menghantar ke premis pejabat, kita juga menghantar bekalan air minuman itu ke premis persendirian,” katanya.


Merujuk kepada firma perundingannya, TAPiO Management Advisory , Schutte berkata: “Boleh dikatakan kami telah menjadi lebih sibuk”.


“Ini disebab banyak syarikat luar dari Jerman atau Belgium atau mana-mana negara Eropah mereka tidak dapat datang ke sini lagi, jadi mereka perlu mempunyai seseorang di sini untuk membantu mereka.


“Dalam aspek ini, kita menjadi lebih sibuk, sebab itu saya kata ia bergantung kepada bidang apa yang anda ceburi," katanya.


Sebagai seorang perunding yang berpengalaman, Schutte berkata apabila terdapat krisis, pelabur atau sesiapa sahaja tidak sepatutnya panik, mereka harus memikirkan apa yang sedang berlaku dan cara mengatasinya.


“Setiap krisis berlaku, sentiasa ada peluang. Malah bukan hanya Malaysia yang mengalami krisis, tetapi seluruh dunia mengalami krisis yang besar,” ujar beliau.



--AWANI