top of page
Writer's pictureMatha Ahmad

Malaysia perlu haramkan wiski jenama TIMAH

Kemunculan wiski buatan Malaysia yang bernama Timah menggunakan wajah lelaki seolah-olah memakai kopiah dan berjanggut panjang telah menimbulkan pelbagai polimik di kalangan rakyat Malaysia.

Tindakan tersebut dilihat mencemarkan imej dan memberikan imej negatif kepada negara yang mengamalkan ajaran Islam serta merupakan agama rasmi seperti tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Pertubuhan Amal Pendidikan dan Pembangunan Insan Malaysia (PERAPIM) menyeru agar pihak berwajib menjalankan siasatan teliti dan tindakan segera kerana menggunakan perwatakan umat Islam terhadap produk yang sememangnya adalah haram di sisi agama.

Penasihatnya, Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi menegaskan jika perkara ini tidak dipandang serius oleh kerajaan mahupun pihak berkuasa, ini membuka peluang kepada golongan muda beragama Islam untuk berjinak-jinak kepada minuman arak.

“Sebagai contoh, wiski tapi gambar berkopiah. Jika mereka yang tidak cukup pendidikan agama melihatnya seolah-olah arak itu boleh minum kerana ada gambar orang berkopiah. Ini satu agenda yang tidak bagus dan sewajarnya tidak dilakukan oleh pemilik syarikat.


“Pihak berwajib perlu laksanakan kajian secara menyeluruh. Selain itu perlu libatkan kes ini dengan jabatan agama kerana telah menggunakan gambar orang lelaki berkopiah sedangkan minuman arak itu haram di sisi Islam. Dari segi perniagaan mereka tak salah namun menggunakan nama dan gambar orang Islam itu perlu dihentikan.

“Ini kerana mereka dilihat cuba memutarbelitkan tentang kefahaman awam tentang orang Islam dan perlu diambil tindakan. Kalau boleh tutup terus syarikat ini kerana jelas telah mencemarkan imej dan insitusi negara yang mengamalkan agama Islam. Kementerian Dalam Negeri khususnya perlu siasatan perkara ini dengan teliti,” katanya ketika dihubungi PNBBC Portal, hari ini.


Dalam pada itu, bagi menghentikan perkara ini yang dilihat sengaja menggunakan imej orang Islam daripada berlanjutan, Mohamad Nizam mencadangkan agar satu akta baharu digubal untuk tidak membenarkan umat Islam di negara ini memasuki kelab-kelab malam.

Beliau berkata, menerusi akta itu, bukan sahaja umat Islam yang memasuki kelab malam diambil tindakan malah pemilik kelab juga akan dikenakan tindakan kerana telah membenarkan mereka yang dilarang memasuki premis hiburan mereka.

“Kalau kita tidak halang seolah-olah kita galakkan kelab malam dan isu ini lebih kurang sama seperti arak gambar berkopiah ini. Ini kerana secara realitinya apabila orang Melayu minum arak secara ironinya di Malaysia, Melayu ini merupakan orang Islam. Jadi, bila sudah ada orang Islam masuk kelab malam akan ada persepi apa salahnya kita buat wiski bergambar kopiah.


“Persepsi sebegini kita tidak boleh wujudkan dan kerajaan boleh menghalang perkara ini dengan tidak membenarkan orang Islam di negara ini memasuki kelab malam kerana inilah punca-punca khususnya remaja terdedah ke kancah maksiat dan meminum arak ini bermula di kelab malam.

“Perkara ini kita perlu jaga kerana saya lihat sudah banyak agenda dan cara licik mereka (orang bukan Islam) untuk merosakkan agama Islam di negara ini,” katanya.

Sementara itu, hasil penelitian PNBBC Portal, minuman arak yang menggunakan nama Timah diasaskan oleh Winepak Corporation (M) Sdn Bhd yang merupakan pembekal minuman keras borong yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang berpusat di Malaysia.

Lebih mengejutkan, syarikat itu ditubuhkan oleh Pengerusi Persatuan Pembotolan Malaysia (Malaysian Bottling Association) Yeo Eng Chiang.


Melalui carian di Winepakinternational.com turut menerangkan maklumat mengenai arak Timah dengan nama Timah itu melambangkan usaha berterusan dalam sejarah Tanah Melayu yang membawa kepada kemajuan pembangunan negara pada awal abad ke-20.

תגובות


bottom of page