top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Malaysia, Singapura lancar laluan perjalanan lengkap vaksin darat mulai 29 Nov

25 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Singapura dan Malaysia akan melancarkan laluan perjalanan lengkap vaksin darat (VTL) melalui Tambak Johor mulai Isnin 29 Nov.


Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, laluan Perjalanan Vaksinasi Darat (VTL-Land) di antara Malaysia dan Singapura yang bermula 29 November ini akan dihadkan kepada pengangkutan bas.


Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, melalui penggunaan pengangkutan itu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menetapkan kuota harian pengembara adalah tidak melebihi 1,500 orang pada peringkat permulaan.


Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala di Singapura pula adalah di Terminal Queen Street (QST).


“VTL-Land akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.


“Kuota harian pengembara adalah tidak melebihi 1,500 orang pada peringkat permulaan, dengan peningkatan dari minggu ke minggu,” katanya melalui kenyataan itu.


Menurut Pejabat Perdana Menteri, pelancong yang dibenarkan mengambil bahagian dalam program VTL-Land adalah warganegara Malaysia dan Singapura dan penduduk tetap serta pemegang pas jangka panjang Malaysia dan Singapura.


Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Negara, peristiwa penting ini bukan sahaja akan merancakkan ekonomi malah akan menyatukan semula keluarga.


“Ini mencerminkan kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua negara. Langkah ini akan memudahkan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara apabila sempadan mula dibuka secara beransur-ansur.


“Ini adalah tanggungjawab dalam mengimbangi keperluan pemulihan ekonomi serta memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat. Tidak sabar untuk melihat keluarga kembali bersatu semula serta perniagaan terus berkembang dengan pelaksanaan VTL ini,” katanya menerusi kenyataan itu pada Rabu.

bottom of page