top of page
  • Writer's pictureNizam

Malton rancang jual Pavilion Bukit Jalil

25 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Malton Bhd sedang berunding untuk menjual Pavilion Bukit Jalil Mall kepada Pavilion Real Estate Investment Trust (REIT). Pavilion Bukit Jalil Mall terletak dalam Bukit Jalil City, kawasan pembangunan di bawah Malton. Malton dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, MTrustee Bhd, yang bertindak sebagai pemegang amanah Pavilion REIT, menerima pelawaan daripada anak syarikatnya, Regal Path Sdn Bhd untuk memulakan rundingan bagi potensi penjualan pusat beli belah itu. "Pusat beli belah itu, dengan ruang runcit kira-kira 1.8 juta kaki persegi, dibuka kepada orang ramai pada 3 Disember 2021," kata Malton. Ia menambah, pengumuman selanjutnya mengenai perkara itu akan dibuat kemudian. Pengerusi Eksekutif Malton, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon memegang 43.33 peratus kepentingan dalam syarikat itu. Siew Choon juga adalah pengerusi dan pengarah eksekutif bukan bebas Pavilion REIT Management Sdn Bhd, pengurus Pavilion REIT. Ketika ini, portfolio Pavilion REIT merangkumi Pavilion Kuala Lumpur Mall, Intermark Mall, Da Men Mall, Elite Pavilion Mall serta Pavilion Tower.

bottom of page