• newsatmy

Manchester City rugi RM718.68j


7 April 2021 MANCHESTER City mengumumkan kerugian sebanyak £126 juta (RM718.68j) dalam laporan kewangan 2019-20 dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sudah mengambil kira pendapatan yang terjejas akibat COVID-19.


Secara keseluruhan, pendapatan City menurun 11 peratus iaitu kepada £478.4j (RM2.7b bilion) daripada 12 bulan sebelumnya.


Laporan musim lalu berakhir pada 30 Jun 2020 dan angka tersebut dipengaruhi aktiviti yang terpaksa ditunda ekoran krisis COVID-19.


Pendapatan City pada hari perlawanan merosot sebanyak £13.5j (RM77j), pendapatan siaran daripada Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pula terjejas £18.5j (RM105.5j) sementara keuntungan daripada siaran televisyen menurun sebanyak £44.5j (RM253.8j) walaupun perolehan daripada aliran komersial naik sebanyak £19.5j (RM111.2j)


Jumlah itu bagaimanapun belum termasuk hasil jualan Leroy Sane ke Bayern Munich dengan harga £44.7j (RM255j) berikutan penangguhan pembayaran termasuk Angelino -- pertahanan yang kembali dipinjamkan ke RB Leipzig sebelum kelab Bundesliga berkenaan mengaktifkan klausa pembelian bernilai £16j (RM91.2j), Februari lalu.


City terus dikaitkan perpindahan lumayan terutama membabitkan penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland, dan Pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak, tetap yakin dengan kekuatan kewangan keseluruhan kelab berkenaan walaupun mengalami kerugian selain terikat dengan peraturan kewangan yang ditetapkan UEFA.


"Seperti kebanyakan organisasi yang lain, kami tidak mempunyai strategi perniagaan khusus untuk menangani pandemik ini. Apa yang kami miliki dan masih ada adalah asas perniagaan yang kuat, pemegang saham yang komited dan dengan aset penting ini, ia dibangunkan dengan teliti selama lebih sedekad malah lebih dari satu abad," kata Khaldoon. -Astro Awani

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.