top of page
  • zaman

Mangsa banjir di Johor menurun


JOHOR BAHRU 7 Mac:Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan setakat jam 8 pagi ini kepada 39,620 orang daripada 10,862 keluarga berbanding 40,129 orang daripada 11,210 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa terlibat daripada sembilan buah daerah yang terjejas banjir. “Mersing, Johor Bahru dan Pontian kekal dengan jumlah mangsa banjir sama pada jam 8 malam tadi. Empat daerah lain menunjukkan penurunan iaitu di Tangkak, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa banjir mengikut pecahan daerah, di Tangkak 2,584 orang (796 keluarga di 22 PPS), di Segamat 4,036 orang (991 keluargadi 45 PPS), di Kluang 2,591 orang (707 keluarga di 20 PPS), di Kota Tinggi 1,754 orang (502 keluarga di 13 PPS), di Mersing 1,164 orang (348 keluarga di enam PPS), di Pontian 150 orang (39 keluarga di empat PPS) dan Johor Bahru 38 orang (38 keluarga di sebuah PPS).

Setakat ini sebanyak 210 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif seluruh Johor. Dalam kenyataan sama Azmi memberitahu terdapat tambahan satu kes kematian membabitkan seorang wanita berusia 24 tahun yang dilaporkan mati lemas di Mersing malam tadi menjadikan korban banjir di Johor mencecah lima orang.


bottom of page