top of page
  • newsatmy

Manifesto PRU14. PN belum wujud pun, Badrolhisham bidas Asyraf


KUALA TERENGGANU 1 Ogos: BERSATU Terengganu menempelak Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sering mengaitkan Perikatan Nasional (PN) dalam manifesto yang dijanjikan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.


Ketua Penerangan BERSATU Terengganu Badrolhisham Shafie berkata PN didaftarkan pada 7 Ogos 2020 selepas lima bulan mentadbir dari tarikh penubuhan kabinet yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mac 2020.

“PN ada manifesto ke KP UMNO (Asyraf Wadji)?

“Semasa PRU14, yang mengeluarkan manifesto PH, BN & PAS. PN belum wujud pun.

“Kerajaan gabungan ini wujud dengan sokongan BN, GPS, GRS dan Bebas.

“Tanpa manifesto, PN telah melaksana amanah kepada rakyat di bawah slogan ‘Prihatin Rakyat’ dengan cemerlang dengan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Semalam, Asyraf mempertikaikan kenyataan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunaikan janji yang dibuat antara PN dan beliau, berhubung terma penting yang termaktub dalam perjanjian.


Dalam posting yang dibuat naik dalam Facebooknya, Asyraf berkata janji dengan rakyat dulu wajib diutamakan ketika bersama dengan PH dahulu, melalui manifesto yang dijanjikan.

Sementara itu, Badrolhisham berkata Barisan Nasional (BN) cuba untuk menidakkan kejayaan pentadbiran Muhyiddin yang cemerlang menguruskan krisis Covid-19 dan kebajikan rakyat.


Beliau menasihatkan agar Asyraf tidak menggunakan pendekatan politik kebencian dengan menimbulkan kekeliruan rakyat.

“Kejayaan kerajaan Muhyiddin inilah yang telah membimbangkan BN. BN mula mewujudkan ketidakstabilan politik dalam negara berdepan pandemik Covid-19.

“Sekarang kabinet BN (Ismail Sabri) telah menguasai kerajaan Persekutuan. Kenapa tidak disebarluaskan manifesto BN semasa PRU14?

“BN juga mengemukakan manifesto dalam PRN Melaka dan Johor. Apa pencapaian BN setelah menguasai 2/3 majoriti tanpa ganggu gugat dari pembangkang?

“BN telah menguasai kerajaan Persekutuan, Melaka, Johor, Pahang, Perak dan Perlis melebihi 100 hari. Mana ‘report card’ BN?

“KP UMNO (Asyraf) usahlah menggunakan pendekatan politik kebencian. Saudara dilihat celik akal berlatar ilmuan agama. Bersainglah dengan membentangkan pencapaian akujanji manifesto BN,” katanya.


Mengulas lanjut, Badrolhisham menggesa agar Asyraf tidak mendesak mahu menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas alasan demi kestabilan politik.

Ini kerana, katanya, rakyat makin tertekan dengan inflasi, kejatuhan nilai ringgit, saham yang merudum dan pemulihan ekonomi yang lembap.

“Bukankah kelompok yang KP Umno (Asyraf) dokong bersama telah mewujudkan ketidakstabilan?

“Sekarang ini, BN lah WAJIB mendahului RAKYAT dengan menunaikan manifesto semasa PRU14 sebagai kerajaan,” katanya.

bottom of page