top of page
  • Writer's pictureNihaba

Mara Digital terus bertahan


KUALA LUMPUR,17 Ogos: Sejak mula beroperasi pada Disember 2015, Mara Digital Mall yang pertama diwujudkan di sini menyediakan platform kepada usahawan teknologi maklumat (IT) memasarkan produk mereka kepada pelanggan secara lebih meluas.


Walaupun mengalami pasang surutnya, pusat beli-belah yang terletak di lokasi strategik di bangunan Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman itu terus menawarkan kemudahan kepada usahawan IT dengan mengenakan kadar sewa pada kadar yang lebih rendah berbanding tempat lain.


Peniaga Azmil Asrop, 34, pemilik Setia IT Solution yang menawarkan khidmat membaiki dan menyelenggara komputer, berkata beliau telah menjalankan perniagaan di situ sejak mula ia dibuka dan bersyukur perniagaannya dapat terus bertahan walaupun ada turun naik dan pasang surutnya.

"Awal empat tahun, jualan baik tapi lepas COVID-19 memang terkesan. Perniagaan setakat ini okay sahaja dan bertahan lebih enam tahun berniaga di sini, saya juga (sudah) ada pelanggan tetap.


"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, kami diberi pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan dan sewa di sini (juga) murah berbanding tempat lain. Walaupun ada (sesetengah) orang yang tak tahu kewujudan Mara Digital Mall ini, kami harap pihak pengurusan boleh tingkatkan lagi promosi," katanya.


Dilaporkan inisiatif Mara Digital Mall telah mencatatkan perolehan RM18.4 juta pada November 2016, iaitu selepas setahun ia diwujudkan.


Pengusaha Liman Empire, Noorasyikin Shafie, 24, yang baru sahaja beroperasi enam bulan lepas, bersetuju bahawa lokasinya yang terletak di tingkat tiga telah mengehadkan kedatangan pengunjung ke premisnya berbanding kedudukan kedai di tingkat bawah.

"Jualan tidak begitu teruk dan kami masih mempunyai pelanggan yang datang ke kedai kami tetapi bilangannya tidak ramai, jadi kami ambil inisiatif sendiri, promosikan kedai melalui platform dalam talian seperti Shopee, Lazada, Facebook dan TikTok.

"Kami tidak boleh terlalu bergantung kepada pelanggan yang datang ke kedai, jadi kami perlu gunakan media sosial untuk iklankan produk dan kedai kami, biasanya kami galakkan pelanggan kami untuk datang ke kedai kerana biasanya mereka lebih suka membeli komputer secara fizikal berbanding secara dalam talian," katanya.

Susulan lawatan mengejut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke pusat beli-belah itu pada Isnin, beliau berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah diarah untuk meneruskan projek Mara Digital bagi membuka lebih banyak peluang kepada belia bumiputera menceburi bidang keusahawanan IT.


Beliau berkata beberapa pusat Mara Digital telah ditubuhkan setakat ini iaitu di Shah Alam, Selangor; Kuantan, Pahang dan Ipoh, Perak, manakala lokasi lain yang telah dikenal pasti ialah Larkin, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.


Pembukaan Mara Digital sebagai pusat jualan peralatan telekomunikasi dan IT pada 2015 dicetuskan oleh Ismail Sabri yang pada ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

-- BERNAMA

コメント


bottom of page