• Arissa

MARA umum pengecualian bayaran sewa premis perniagaan selama 3 bulan

6 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Kesemua penyewa perniagaan di premis Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan dikecualikan bayaran sewa selama tiga bulan bermula Julai hingga September 2021.


Pengerusinya Datuk Azizah Mohd Dun berkata ini bagi membantu usahawan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 dan dalam masa yang sama menyokong usaha kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).


“Inisiatif tambahan ini adalah untuk membantu usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dan bangkit semula setelah terjejas akibat krisis pandemik yang melanda.


“Kita mahu memperkukuhkan keyakinan, merangsang pertumbuhan, melindungi pekerjaan serta meningkatkan semula ekonomi usahawan Bumiputera untuk terus kekal dan bersaing semula dalam pasaran perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan MARA bagi tempoh enam bulan bermula Julai di bawah Pakej PEMULIH, dan menyasarkan lebih 5,700 penyewa menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.

Azizah berkata, seiring dengan pengumuman tersebut, MARA juga telah memutuskan untuk menambah insentif dengan mengecualikan bayaran sewa premis bagi tempoh tiga bulan bermula Julai hingga September 2021 dan seterusnya pemberian 30 peratus diskaun sewaan untuk tiga bulan berikutnya.


Sehubungan itu, katanya, sebanyak 5,913 penyewa akan menikmati insentif ini dengan nilai keseluruhan sebanyak RM14.89 juta.



--PN Online