top of page
  • newsatmy

Margin penapisan Asia akan terus menggalakkan pada 2022 - Moody's

5 April 2022

KUALA LUMPUR: Margin penapisan Asia akan terus menggalakkan pada 2022 berikutan sekatan pergerakan yang dilonggarkan meningkatkan permintaan untuk bahan api pengangkutan manakala kadar penggunaan untuk bahan api di Asia dari Eropah telah meningkat disebabkan sekatan antarabangsa ke atas Rusia, menurut Moody's Investors Service (Moody's) semalam.


Katanya pada masa sama, bekalan merosot berikutan penutupan kilang penapisan yang ketara pada tahun lepas, selain penurunan eksport bahan api dari China.


Penganalisis Moody's Hui Ting Sim berkata, permintaan yang tinggi untuk bahan api pengangkutan di tengah-tengah kekurangan bekalan akan memacu margin penapisan walaupun harga minyak mentah melonjak baru-baru ini meningkatkan kos bahan mentah.

"Pendapatan syarikat penapis akan meningkat pada tahun ini berikutan margin penapisan yang menggalakkan dan keuntungan inventori daripada harga minyak yang tinggi.


"Bagaimanapun, pertumbuhan pendapatan akan dibendung oleh kos utiliti yang tinggi, kos pengangkutan dan premium kepada minyak mentah," katanya.


Agensi penarafan kredit itu berkata sekatan antarabangsa ke atas Rusia memberi impak yang terhad kepada operasi syarikat penapis di Asia yang diberi penarafan berikutan mereka mendapat sebahagian besar daripada minyak mentah mereka daripada pengeluar minyak mentah Timur Tengah melalui perjanjian pembelian jangka panjang.


Walaupun kilang penapisan di China lebih bergantung kepada minyak mentah dari Rusia, syarikat milik kerajaan akan dapat mengatasinya, katanya.


Sementara itu, ia menjangka pendapatan atau aliran tunai syarikat penapisan dan pemasaran di India dan Indonesia akan merosot pada tahun ini berikutan kawalan harga dan mereka menghadapi cabaran untuk memindahkan kos bahan mentah sepenuhnya kepada pengguna.


"Bagaimanapun, kemerosotan dalam metrik kredit syarikat penapisan dan pemasaran milik kerajaan di negara tersebut akan ditampung dalam profil kredit semasa mereka," menurut Moody's.


Bagi Singapura, katanya margin penapisan republik itu berada pada purata US$4 setong dalam tempoh 12 bulan lepas dan menjangka margin akan terus menggalakkan pada US$4-US$6 setong dalam jangka sederhana.


Agensi penarafan kredit itu turut menjangka aliran keluar modal kerja syarikat penapis akan meningkat pada 2022 berikutan harga minyak mentah yang tinggi.


"Oleh itu, penjanaan aliran tunai syarikat penapis di Asia akan dihadkan walaupun harga minyak mentah yang tinggi meningkatkan pendapatan mereka berikutan keuntungan inventori pada tahun ini.


"Aliran keluar modal kerja akan menjadi tinggi untuk syarikat penapis di Asia yang diberi mandat oleh kerajaan mereka untuk menyimpan rizab minyak," katanya.

bottom of page