• newsatmy

Martinez sasar trofi Euro 2020

18 Mei 2021

BRUSSELS: Jurulatih Belgium, Roberto Martinez berkata dia menyasarkan trofi ketika menamakan 26 pemain terbaik untuk Euro 2020 semalam.


Bekas bos Everton, Martinez berkata dia merasakan England akan menjadi pilihan untuk kejohanan berkenaan namun merancang untuk menghalang skuad Gareth Southgate seperti dilakukan pada penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2018.


"Kami lebih kuat berbanding Piala Dunia sebelum ini," kata Martinez kepada RTBF.


"Ramai pemain kami ada pengalaman di tahap tertinggi ketika ini.


"England ada generasi pemain muda menakjubkan dan ada kelebihan di laman sendiri dalam sebahagian besar perlawanan terutama jika ada penonton," kata Martinez.


Axel Witsel dimasukkan ke dalam skuad walaupun menjalani pembedahan Achilles pada Januari dan mula berlari sejak beberapa hari lalu namun masih diragui bagi kejohanan bermula 11 Jun hingga 11 Julai itu.


"Dengan skuad bertambah kepada 26 (berbanding 23), saya boleh mengambil risiko ini (terhadap Witsel), dia pemain yang unik," kata Martinez.


Skuad berkenaan termasuk 11 pemain simpanan, mesti diisytiharkan kepada UEFA pada 1 Jun.


Belgium yang berkedudukan teratas senarai dunia, diletakkan dalam Kumpulan B yang akan menentang Russia pada 12 Jun, Denmark lima hari kemudian dan Finland pada 21 Jun.


-Berita Harian