top of page
newsatmy

Mas Ermieyati kini lebih dikenali sebagai pemimpin yang prihatin

10 NOVEMBER 2021

Calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dikenali penduduk tempatan di Tanjung Bidara, malah banyak kerja kebajikan dan bantuan yang disalurkan semasa krisis kesihatan Covid-19 sangat dihargai penerima menerima bantuan.


Walaupun baharu sepenggal menjadi Ahli Parlimen (MP) Masjid Tanah, namanya sudah terpahat dalam hati dikalangan penduduk tempatan dan ia lebih dirasai semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mengakibatkan banyak penduduk terjejas punca pendapatan.


Penduduk tempatan yang ditemui sekitar Tanjung Bidara semasa ditanya sama ada mengenali Mas Ermieyati, majoritinya memberi jawapan ‘Ya, kenal’, ia secara tidak langsung menunjukkan dalam tempoh singkat selepas menjadi MP beliau sudah dikenali orang ramai.

Abu, 24 tahun berniaga sendiri di Pengkalan Balak.


Abu, 24 tahun, yang baharu menamatkan pengajian di Kolej Komuniti semasa ditemui berkata ketika PKP banyak bantuan diterima keluarganya yang disalurkan Pejabat Parlimen Masjid Tanah, ia melibatkan bantuan Bakul Makanan serta keperluan asas yang diperkenalkan semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.


“Dapat (bantuan), jenis macam dia tak pilih kasih, yang patut dapat akan dapat.


“Tak kisah sesiapapun dapat,” kata Abu apabila ditanya sama ada keluarganya menerima bantuan semasa PKP daripada MP Masjid Tanah.


Abu yang berniaga sendiri di pesisir pantai Pengkalan Balak berkata punca pendapatannya terjejas semasa pandemik melanda negara dan bantuan yang disalurkan sama ada daripada wakil rakyat mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) banyak meringankan beban penduduk tempatan disitu.


Berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan, Abu menyifatkan ia sepatutnya tidak berlaku pada ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara.


“Kalau tanya saya, saya tak nak… Kalau boleh biar keadaan betul-betul reda terlebih dahulu,” katanya.


Kebimbangan Abu adalah keselamatan orang ramai semasa mengundi nanti dan takut sekiranya insiden semasa PRN Sabah akan berulang lagi.


Mengenai harapan sekiranya kepada wakil rakyat baharu yang akan dipilih nanti, beliau berharap supaya aspek pembangunan dan peluang pekerjaan lebih banyak dapat diwujudkan kepada penduduk setempat.


“Kalau boleh harap nanti dapatlah wujudkan peluang pekerjaan atau melihat cara untuk membangunkan pelancongan disini,” katanya lagi.


Sementara itu, seorang lagi penduduk tempatan, Azman, 48 tahun semasa ditemui berharap wakil rakyat yang menang pilihan raya di Tanjung Bidara nanti dapat menjaga kebajikan rakyat dan prihatin dengan permasalahan penduduk setempat.


Azman, 48, mengusahakan chalet sendiri milik keluarganya di Pengkalan Balak.


Azman berkata wakil rakyat tersebut perlu cakna dan memahami masalah penduduk setempat, janganlah pula rakyat yang kena cari wakil rakyat tersebut semasa diperlukan.


“Orang yang patut kau bantu kau kena carilah. Janganlah nak tegur orang pergi cari engkau. Macam orang sakit, takkanlah nak tunggu orang sakit ziarah, takkanlah orang sakit jumpa kita.


“Itu yang kita kena ziarah orang sakit itu, kan? Contohlah, maksud contoh, orang yang sakit kita dah tahu sakit, takkan nak tunggu dia, ziarah kita? Mesti kita yang pergi ziarah dia,” katanya.


Maksud yang cuba disampaikan Azman adalah seseorang wakil rakyat perlu mencari pengundinya dan mendengar permasalahan mereka, kemudiaan membantu dengan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.


Ditanya sama ada mengenali calon di Tanjung Bidara, Azman juga memberitahu mengenali MP Masjid Tanah, Mas Ermieyati yang menang semasa PRU-14 lalu.


“Ya, ya kenal… Yang menang PRU-14 lalu,” katanya lagi.


Mas Ermieyati yang juga MP wanita pertama di Melaka, bakal menghadapi cabaran daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Datuk Seri Ab Rauf (BN) dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Коментарі


bottom of page