top of page
  • newsatmy

Maszlee Hanya Tahu Bercakap Tetapi Menteri Hari Ini Bekerja

12 Januari 2022

KUALA LUMPUR – Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik tidak perlu menunjuk pandai dalam mengurus dasar pendidikan kerana beliau pernah digugurkan dari jawatan itu ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.


Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata sepatutnya Maszlee mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Senator Dr Radzi Jidin kerana telah mula menangani hal yang beliau gagal uruskan semasa berkuasa.

“Semasa Maszlee jadi Menteri Pendidikan, dia hanya tahu nak tukar kasut hitam dan rakus nak jadi Presiden UIA sahaja.

“Tidak ada pencapaian tulin semasa Maszlee menjadi menteri. Hanya tahu bercakap sahaja.

“Saya lihat Maszlee Malik begitu banyak bercakap mengenai isu pendidikan. Semasa jadi Menteri dulu, kenapa tak mahu buat?

“Yang terbaru, Maszlee bercakap seolah-olah dia lebih tahu kaedah untuk menangani obesiti di kalangan pelajar sekolah.

“Inilah bezanya Maszlee dengan Menteri Pendidikan hari ini. Maszlee hanya tahu bercakap. Tetapi Menteri hari ini bekerja,” katanya yang juga Setiausaha Biro Penerangan BERSATU Malaysia dalam kenyataan pada Selasa.


Hishamuddin mengulas laporan FMT memetik kenyataan Maszlee yang menggesa kerajaan melihat isu obesiti dalam kalangan murid sekolah dari sudut lebih luas.

Dalam laporan itu, Maszlee berkata masalah obesiti agak membimbangkan dan penekanan pada usia muda harus diberikan dalam menerapkan amalan sihat seperti senaman dan pengambilan makanan berkhasiat.


Maszlee mempersoalkan dasar Kementerian Pendidikan (KPM) yang menggunakan pemeriksaan indeks jisim badan (BMI) untuk melakukan pemeriksaan ke atas murid sekolah berusia lima ke sembilan tahun.

Katanya, BMI yang tinggi tidak semestinya bermaksud mereka menghadapi masalah obesiti kerana mungkin terdapat isu kesihatan lain.


Baru-baru ini KPM dilaporkan akan melaksanakan BMI ke atas murid sekolah berusia lima hingga sembilan tahun bagi menangani masalah obesiti di negara ini.

Pelaksanaan langkah itu akan bermula pada hari pertama kalendar akademik 2022/2023 dan dilakukan dua kali setahun.

bottom of page