top of page
  • newsatmy

Matsuyama cipta sejarah di Augusta

12 April 2021


Pemain Jepun, Hideki Matsuyama (kanan) dianugerahkan Jaket Hijau oleh juara Masters tahun lalu, Dustin Johnson selepas memenangi kejuaraan ke-85 di Augusta National Golf Club, Augusta, Georgia. -Foto AFP


AUGUSTA, Amerika Syarikat: Hideki Matsuyama memenangi golf Masters edisi ke-85 untuk menjadi pemain lelaki Jepun pertama merangkul gelaran major.


Matsuyama menyarung jaket hijau Masters dan me mbawa pulang hadiah AS$2.07 juta (RM8.56 juta) selepas memenangi kejohanan dengan kelebihan satu pukulan.


Sebelum itu Matsuyama selesa mendahului pusingan akhir dengan tujuh pukulan ketika permainan berbaki tujuh lubang, tetapi Xander Schauffele merapatkan jurang kepada hanya dua pukulan dengan tiga lubang berbaki.


Bagaimanapun bola Schauffele masuk ke dalam air di lubang ke-16 untuk triple bogey dan Matsuyama memastikan kejuaraan dengan catatan satu atas par 73 dan keseluruhan 10 bawah par 278.


Pemain Amerika Syarikat, Will Zalatoris di tempat kedua pada penampilan Masters sulungnya, diikuti juara major tiga kali, Jordan Spieth dan Schauffele yang berkongsi tempat ketiga.


Matsuyama muncul pemain Asia kedua memenangi gelaran major selepas pemain Korea Selatan, Yang Yong-eun mengungguli Kejuaraan PGA 2009.


Keputusan terbaik pernah diraih pemain lelaki Jepun sebelum ini ialah menerusi Isao Aoki yang muncul naib juara Terbuka Amerika Syarikat 1980 dan Matsuyama sendiri yang berkongsi tempat kedua pada edisi 2017.


Dalam kejohanan Masters, keputusan terbaik dicatat pemain lelaki Jepun adalah di tempat keempat.


Dua gelaran major dimenangi pemain Jepun adalah menerusi pemain wanita, Chako Higuchi (Kejuaraan LPGA 1977) dan Hinako Shibuno (Terbuka Wanita British 2019). -BH Online

bottom of page