• newsatmy

Maybank tangguh AGM berikutan isu teknikal

15 April 2021

KUALA LUMPUR: Maybank menjadualkan semula Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-61 yang diadakan hari ini ke suatu tarikh baharu yang akan dimaklumkannya kelak.


Kumpulan perbankan terkemuka di Malaysia itu terpaksa menjadualkan semula AGM berikutan isu teknikal yang dihadapi penyedia kemudahan penyertaan dan undian jarak jauh, Tricor Investor & Issuing House Services Sdn Bhd (Tricor).


Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, berkata pihaknya meminta maaf kepada semua pemegang saham di atas kesulitan yang timbul dan akan memaklumkan kepada mereka mengenai tarikh mesyuarat yang baharu.


"Kami amat menghargai pemegang saham kami yang telah meluangkan masa untuk mencuba log masuk hari ini untuk mengikuti proses mesyuarat.


"Kami ingin meyakinkan mereka semua bahawa kami akan menghubungi mereka untuk perkembangan terkini pengaturan mesyuarat seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.


Pemberitahuan tarikh mesyuarat baharu akan diumumkan kepada Bursa Malaysia dan juga akan tersedia di www.maybank.com .


-Berita Harian