top of page
  • newsatmy

MCA minta kerajaan bina lebih banyak sekolah cina

13 Februari 2021

Setiausaha MCA Bahagian Rasah, Ng Kian Nam memuji Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon atas peruntukan bagi penyelenggaraan dan pembaikan 16 Sekolah Menengah Cina, yang tepat pada masanya sebelum Tahun Baru Cina.


Susulan itu, Ng menggesa kerajaan untuk bersetuju membina lebih banyak sekolah Cina di kawasan perumahan baru, katanya seperti dilapor The Star.


Semalam, Mah mengagihkan RM100,000 kepada setiap 16 buah sekolah menengah menjadikan ia berjumlah RM1.6 juta.


Peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada RM800 juta yang diperuntukkan untuk penyelenggaraan institusi yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.


“Peruntukan ini tepat pada masanya kerana mereka boleh terus meningkatkan kemudahan dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa buat pelajar mereka,” katanya di laman Facebook pada Selasa.


Ng memuji Mah kerana menunaikan janjinya untuk memberikan peruntukan kewangan kepada sekolah-sekolah berkenaan, sambil menambah bahawa Mah juga berjanji akan terus membantu sekolah menyelesaikan masalah lain seperti isu kekurangan guru.


Pada tahun 2020 sahaja, Ng mengatakan, 65 sekolah Cina telah menerima peruntukan penyelenggaraan dari Kementerian Pendidikan, dengan menyatakan bahawa beberapa sekolah menerima lebih banyak dana daripada tahun-tahun sebelumnya.


Ng mendakwa, di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH), peruntukan untuk sekolah Cina terhad kepada geran sehingga menyebabkan beberapa sekolah tidak mendapat peruntukan.


“Saya berharap Mah, yang telah mengambil alih jawatan Timbalan Menteri Pendidikan sejak Mac tahun lalu dapat memperbaiki penyelewengan pentadbiran secepat mungkin.


“Dulu, 81 sekolah Cina dilayan sama rata dan dana penyelenggaraan berkala diberikan setiap tahun mengikut keperluan sebenar,” katanya sepert dilapor The Star.


Ng juga mendesak kerajaan untuk memenuhi komitmennya menyusun semula atau menubuhkan lebih banyak sekolah Cina, sambil berkata, mereka juga harus menjaga status sekolah-sekolah ini termasuk menghormati kedaulatan dewan pengarah, mempromosikan budaya Cina, dan menyediakan lebih ramai guru.


“Saya percaya ini akan membantu mempromosikan pendidikan Malaysia yang pelbagai dan meningkatkan daya saing, untuk memastikan sekolah-sekolah ini memenuhi keperluan ibu bapa dan pelajar, serta dapat melahirkan pemimpin negara yang lebih berkualiti dalam pelbagai bidang,” katanya.

bottom of page