MDEC bekerjasama bantu syarikat pemula
KUALA LUMPUR,16 Ogos: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah menjalin kerjasama dengan 12 pendanaan awam ekuiti (ECF) dan platform rakan setara (P2P) bagi membantu syarikat pemula ketika pandemik COVID-19.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata menerusi MDEC Innovation Exchange (MiX), kementerian (K-KOMM) telah membantu dari segi pemadanan syarikat besar dengan kalangan pereka atau inovator tempatan bagi menangani isu berkaitan.
"Setakat ini, kita telah membantu organisasi menangani 75 pernyataan masalah daripada (bidang) telekomunikasi sehingga pertanian selain mewujudkan kira-kira 1,300 peluang untuk syarikat-syarikat teknologi terbabit," kata beliau dalam ucapan perasmian pertandingan Create@ Global Startup Contest Alibaba Cloud 2022 (CACSC) di sini, pada Isnin.
Ucapan beliau telah dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz.
Annuar berkata, kerajaan turut menyedari kepentingan syarikat pemula digital untuk merangsang kepesatan ekonomi digital dan K-KOMM menerusi MDEC selaku agensi peneraju ekonomi digital negara, telah memupuk pembangunan dan pertumbuhan ekosistem syarikat berkenaan di peringkat tempatan.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mahadhir berkata MDEC menyasarkan untuk membantu syarikat teroka berkaitan teknologi agar mampu berkembang di pasaran.
"Kita melihat (wujudnya) kelompok baharu syarikat unicorn, termasuk (platform e-dagang kereta bersepadu) Carsome. Terdapat juga kumpulan syarikat yang bakal bergelar unicorn yang perlu kita bantu," katanya.
Menurutnya, pertandingan CACSC yang menumpukan lima teras iaitu teknologi digital, teknologi makanan dan minuman, teknologi agro, blockchain dan Revolusi Perindustrian Keempat, juga adalah seiring dengan visi dan misi kementerian bagi membina ekosistem pemula digital yang mantap.
Beliau berkata, teras terbabit juga sejajar dengan sembilan bidang tumpuan Digital Malaysia termasuk mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, peluang serta kepentingan.
Sementara itu, Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence Malaysia Kun Huang berkata inisiatif itu akan membolehkan Alibaba untuk terus memperkasa pertumbuhan syarikat pemula teknologi ke tahap seterusnya.
"Acara ini berperanan sebagai platform untuk memacu transformasi digital dan inovasi teknologi dan membolehkan syarikat pemula mengetengahkan potensi masing-masing menerusi satu rangkaian ekosistem pelabur," kata beliau.
Antara acara menarik bersempena pertandingan itu yang bermula hari ini sehingga 27 Oktober depan adalah Bengkel Pelaburan, Bengkel Pelaburan Teknikal dan Program Pertukaran Korporat.
Ini merupakan penganjuran pertandingan bagi kali ketiga selepas 2015 dan 2019.
-- BERNAMA
Comments