top of page
  • newsatmy

MEDAC: Kerajaan komited bantu gerakkan kembali sektor ekonomi koperasi

18 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi menunjukkan tindak balas responsif dalam menjamin kelangsungan ekonomi sektor koperasi khasnya dan negara amnya, kata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).


Menurut kementerian itu, menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi tujuan mengelakkan lebih banyak koperasi tidak aktif, kehilangan pekerjaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat selain memastikan mereka terus mendapat akses kepada keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Timbalan Menteri MEDAC Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata antara inisiatif itu adalah Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi yang diperkenalkan untuk meningkat dan menggerakkan kembali sektor ekonomi koperasi.


Inisiatif ini merangkumi pelbagai aspek seperti peluang meningkatkan pendapatan melalui koperasi, menceburi perniagaan baharu yang lebih dinamik, penjualan barang keperluan asas dengan harga patut serta penggunaan aplikasi pemasaran terkini dalam usaha meningkatkan hasil jualan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.


"Koperasi sebagai sebuah entiti perniagaan dan pertubuhan sosial juga turut terkesan buktinya, perolehan perniagaan koperasi menurun sebanyak RM4.34 bilion daripada RM45.79 bilion pada tahun 2019 kepada RM41.45 bilion pada 2020.


"Penutupan pintu sempadan negara dan sekatan rentas daerah atau negeri pula menjejaskan pendapatan koperasi-koperasi yang menjalankan aktiviti perkhidmatan termasuk pelancongan, hotel, rumah inap, perkhidmatan bas dan teksi," ujar beliau.


Antara usaha dan inisiatif lain yang telah diambil kerajaan adalah program PEMERKASA yang diumumkan kerajaan pada Mac, inisiatif PEMULIH pada Jun dan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi.


Tambah Mas Ermieyati, sehingga 30 Jun lalu, menerusi SKM sebanyak 127 koperasi diluluskan permohonan moratorium PKP 3.0 yang melibatkan jumlah sebanyak RM8.3 juta bagi tempoh tiga bulan.


"Moratorium ini dapat membantu koperasi meneruskan kelangsungan aktiviti ekonomi dan menjadi salah satu inisiatif disediakan SKM kepada semua koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan dengan Tabung Modal Pusingan SKM.


"Menariknya, MEDAC turut memberikan tambahan moratorium tiga bulan menjadikan keseluruhan tempoh moratorium bagi koperasi kepada enam bulan," katanya.


-- BERNAMA

bottom of page