top of page
  • admin

Mekanisme Belanjawan 2023 tidak jelas


KUALA LUMPUR 1 Mac: Pembentangan Belanjawan 2023 Kerajaan Perpaduan dilihat tidak memperincikan dengan jelas mengenai mekanisme penyaluran tanggungjawab golongan T20 kepada miskin tegar.

Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, fokus Belanjawan 2023 adalah kepada nilai kebendaan semata-mata.

Katanya, situasi itu akan mendedahkan negara kepada perkara yang akan merosakkan pembangunan manusia dan negara.

“Bajet ini perlu juga beri perhatian soal tanggungjawab golongan kaya T20, untuk memberi sumbangan kepada golongan miskin dan susah.

“Tanpa mekanisme yang jelas, Belanjawan 2023 akan menjadi satu retorik yang tidak dapat dilaksanakan kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Timbalan Presiden PAS, sesuatu perancangan perlu jelas supaya kerajaan tidak menemui kegagalan pada akhirnya.

“Jangan akhirnya pada hujung, penilaian kita dan prestasi kewangan negara mendedahkan kita kepada kegagalan dalam mencapai target yang telah kita letakkan,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa khuatir dengan tempoh baki bulan yang tersedia untuk pelaksanaan Belanjawan 2023 yang kini hanya tinggal lapan bulan sebelum 2024.

“Kita hanya ada masa lapan bulan dan kerajaan hendak menamatkan golongan miskin tegar dalam tempoh lapan bulan yang ada. Dewan Negara juga belum meluluskan bajet kita dan itu juga akan mengambil masa,” katanya.

Komentarze


bottom of page