• newsatmy

Melaka sifatkan 'lockdown' keputusan tepat

29 Mei 2021

MELAKA: Kerajaan negeri menyifatkan keputusan berhubung penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ fasa pertama bermula 1 Jun depan adalah tindakan tepat.


Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi perlu dilihat sebagai langkah untuk memulihkan keadaan COVID-19 yang semakin memburuk di seluruh negara termasuk Melaka.


Menurutnya, beliau yakin ia bukanlah suatu keputusan yang mudah kerana sudah pasti akan memberi impak dari sudut ekonomi rakyat dan negera namun pada saat ini adalah lebih penting melihat kesihatan rakyat sebagai agenda utama yang perlu dijaga.


"Saya pasti keputusan ini dinantikan rakyat dan menyelami ruang hati rakyat yang bimbang dengan kes semakin meningkat serta kebolehjangkitan yang tinggi.


"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri dan berharap rakyat terus bersabar dengan pelbagai kesulitan yang terpaksa dilalui sepanjang pelaksanaan 'total lockdown' fasa pertama selama 14 hari," katanya ketika ditemui di Kediaman Rasmi Ketua Menteri, di Seri Bendahara, Ayer Keroh, di sini pada Jumaat.


Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata, ucapan terima kasih dan penghargaan juga harus diberikan kepada rakyat yang bersama membantu kerajaan serta barisan hadapan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan demi memutuskan rantaian pandemik ini.


"Bersama kita berdoa agar dalam tempoh dua minggu ini kita mendapat keputusan yang lebih baik berbanding hari ini, dan ALLAH melindungi kita selalu," katanya.



Artikel asal di Sinar Harian