top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Mendiang Ratu Elizabeth II disemadikan 19 September


LONDON,11 Sept: Pegawai diraja mengumumkan bahawa majlis persemadian negara untuk mendiang Ratu Elizabeth II akan berlangsung pada 19 September ini, selepas Raja Charles III ditabalkan secara rasmi sebagai pemerintah baharu dalam upacara penuh adat istiadat, semalam.


Keranda mendiang Ratu yang diperbuat daripada kayu oak dan dilitupi bendera 'Royal Standard' Scotland bersama kalungan bunga di atasnya, kini ditempatkan dalam dewan di Istana Balmoral. Baginda menghembuskan nafas terakhir di istana itu, Khamis lalu.


Ia dijadualkan dibawa ke ibu kota Scotland, Edinburgh, hari ini, dengan melalui beberapa kawasan meliputi perkampungan tanah tinggi terpencil membabitkan perjalanan selama kira-kira enam jam yang membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Keranda itu kemudian akan diterbangkan ke London, Selasa depan, dan ditempatkan di Istana Buckingham sebelum dibawa ke Westminster Hall hingga majlis persemadian berlangsung di Westminster Abbey pada jam 11 pagi 19 September ini.


Kemangkatan Ratu berusia 96 tahun itu bukan hanya mengundang kesedihan ahli keluarga dan kerabat terdekat mendiang serta rakyat Britain, tetapi juga dari seluruh dunia yang merakamkan ucapan takziah - menggambarkan peranan luas dimainkan baginda di pentas dunia sepanjang tempoh 70 tahun menduduki takhta.


Sementara itu Raja Charles III, 73, bertitah amat menyedari akan peranan besar diwarisi baginda dan tugasan serta tanggungjawab berat yang digalas kini.

"Saya akan berusaha mengikut contoh teladan yang telah memberikan inspirasi kepada saya," titah baginda.


Pada majlis pertabalan, semalam, Proklamasi Utama dibacakan berserta tiupan trompet dan sorakan 'hip, hip, hurrah' oleh barisan tentera yang mengenakan pakaian seragam tradisional, untuk Raja baharu United Kingdom (UK).


Upacara bersejarah itu disaksikan ratusan orang meliputi warga emas dan kanak-kanak, malah terdapat anak kecil yang dibawa di atas bahu ibu bapa mereka.

Pertabalan Raja Charles III sebagai monarki ke-41 dalam susur galur diraja itu, menyaksikan baginda bukan saja menjadi raja dan ketua negara kepada UK tetapi juga 14 kerajaan lain termasuk Australia, Kanada, Jamaica, New Zealand serta Papua New Guinea.


Bagi kebanyakan rakyat Britain pula, pertabalan Raja baharu itu merupakan upacara sekali dalam seumur hidup mereka selepas berada bawah pemerintahan mendiang Ratu Elizabeth II selama ini. Bahkan, Raja Charles III sendiri baru berusia tiga tahun ketika mendiang bonda menaiki takhta sewaktu berusia 25 tahun pada 1952. - REUTERS

bottom of page