• cik skod

Mengembara sejauh 2,500 km dengan kereta api demi Harimau Malaya

25 Sept

Rakyat Malaysia tentunya berbangga dengan kejayaan skuad negara menewaskan pasukan jiran Thailand dalam aksi separuh akhir kejohanan jemputan Piala Raja Thai di Stadium Ulang Tahun ke-700 Chiang Mai tempoh hari.


Namun apa yang mencuri tumpuan pada perlawanan tersebut adalah, di dalam kebanjiran hampir 16 ribu penyokong di venue berkenaan, terdapat sebilangan kecil rakyat Malaysia yang hadir untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya.


Dalam kalangan hampir 20 orang warga Malaysia itu adalah Muslimen Mudaser, seorang pemuda berasal dari Segamat, Johor yang mempunyai cara cukup unik untuk tiba di wilayah jauh di utara negeri gajah putih ini.


Berbekalkan semangat cintakan negara, beliau yang selesa disapa dengan gelaran ‘Mus’ memilih untuk hadir ke Chiang Mai dengan menggunakan laluan darat menaiki kereta api yang jaraknya kira-kira 2,500 kilometer.


Perjalanannya bermula dari Stesyen Keretapi Segamat menuju ke Pasir Mas, Kelantan. Kemudian mengambil teksi ke sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang untuk menaiki kereta api seterusnya di pekan Golok.