top of page
  • admin

Menteri paranoid: Laporan ekonomi dikata fitnah


Baru-baru ini, satu hantaran Facebook berkaitan satu rencana terbitan media arus perdana Berita Harian menjadi hangat kerana ia tiba-tiba mendapat amaran daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil. Rencana ekonomi tersebut yang bertajuk, OPR dijangka naik sekali lagi menjelang Julai anehnya, terus mendapat amaran daripada menteri tersebut di ruangan komen hantaran berkenaan.


Menteri itu dalam hantaran di Facebooknya pada hari yang sama, turut memaklumkan akan bertemu dengan pengurusan tertinggi media tersebut.


Sehubungan itu, tindakan Fahmi itu telah mendapat kecaman daripada Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM).


Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Yusof dalam satu kenyataan berkata laporan Berita Harian mengenai isu itu merupakan laporan lazim yang biasa dibuat oleh agensi dan portal media.


Kenyataan itu yang dilaporkan portal Malaysiakini menambah, sudah menjadi kelaziman juga buat agensi media menguar-uarkan laporan mereka di media sosial.


Kata Teh lagi, tindakan Fahmi memperlekehkan laporan Berita Harian, yang disiarkan dan dipautkan ke Facebook, dan kenyataannya menyifatkan laporan itu sebagai penipuan, boleh memberi persepsi negatif terhadap media.


Beliau dalam laporan itu turut mempersoalkan di mana kebebasan media yang dijanjikan kerajaan baharu jika menteri media melabel laporan oleh media tempatan mengenai ramalan kewangan sebagai ‘fitnah’?


NUJM turut berharap agar menteri berkenaan boleh lebih memahami laporan yang dihasilkan media tempatan yang sebagai sumber berita yang boleh diharap, dipercayai dan kredibel.


Dalam laporan yang sama juga, kumpulan hak wartawan dan pengamal media, Gerakan Media Merdeka (Geramm Malaysia) menyifatkan tindakan Fahmi secara terbuka melabelkan siaran berkenaan sebagai ‘fitnah’ adalah bentuk ancaman terhadap kebebasan media.


Menurut Geramm Malaysia, tindakan itu juga tidak selari dengan janji-janji kebebasan media yang sering diucapkan sebelum ini.


Sebagai seorang yang terlibat dalam dunia kewartawanan dan berlatar belakangkan ekonomi penulis berasakan bahawa menteri ini dilihat terlalu naif dalam memahami, bukan satu, tetapi kedua-dua bidang ini sekali gus.


Tidak sepadan sungguh dengan sifatnya sebagai Menteri Komunikasi dan Digital.


Memang perkara biasa dalam bidang ekonomi bahawa ada pakar-pakar yang akan membuat analisis dan menjangka serta meramal tentang apa yang akan berlaku pada masa akan datang berdasarkan kaedah-kaedah yang standard.


Senang cakap, ia lebih kurang umpama ramalan kaji cuaca. Berdasarkan alat-alat dan kaedah yang tertentu, pakar-pakar kaji cuaca akan meramalkan cuaca di sesuatu tempat untuk satu tempoh di masa depan.


Jika tidak berlaku seperti ramalan pun tidak ada siapa yang boleh menyaman pakar kajicuaca atas kesalahan fitnah atau menipu.


Dan pandangan pakar-pakar ini pula akan diambil oleh media-media untuk dilaporkan sebagai satu sumbangan mereka terhadap perkongsian ilmu dan maklumat tentang ekonomi kepada orang ramai.


Maklumat ini pula akan digunakan oleh orang ramai untuk membuat persediaan sekiranya ia benar-benar berlaku.


Kepada pembuat dasar dan mereka yang terlibat secara langsung, jangkaan ini akan digunakan untuk mereka membuat langkah susulan mengatasi sesuatu jangkaan tidak baik yang akan berlaku.


Namun, tindakan menteri itu menunjukkan seolah-olah beliau paranoid atau takut yang melampau-lampau terhadap kemungkinan sesuatu maklumat itu sebagai suatu fitnah atau sesuatu yang akan merosakkan keutuhan kerajaannya.


Mungkin Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli perlu membuat satu taklimat atau kursus kepada menteri ini tentang ramalan ekonomi yang biasa dibuat oleh pakar-pakar ekonomi ini.


Ini bagi mengelakkan daripada berlaku lagi kesipuan yang sama pada masa akan datang.

Memanglah seseorang yang jadi menteri bagi sesuatu portfolio itu tidak semestinya pakar dalam bidang tersebut, namun janganlah sampai nampak naif sangat.


Menteri Komunikasi dan Digital belajarlah sikit-sikit tentang media daripada pengamal-pengamal media di negara ini, janganlah semberono memandai-mandai!


sumber: HARAKAH

コメント


bottom of page