• newsatmy

Messi samai rekod Ronaldo di Eropah

23 April 2021

LIONEL Messi menjaringkan 25 gol dalam LaLiga musim ini ketika Barcelona menewaskan Getafe awal pagi tadi, sekali gus menyamai rekod yang dilakar Cristiano Ronaldo.


Kapten Barcelona itu menjaringkan dua gol ketika pasukannya meraih kemenangan 5-2 itu, bermakna dia dan Ronaldo menjadi hanya dua pemain dalam lima liga utama Eropah dapat menjaringkan sekurang-kurangnya 25 gol dalam 12 musim berbeza sepanjang abad ini.


Pemain berusia 33 tahun itu menjaringkan gol berganda sebelum waktu rehat dan membantu Ronald Araujo menanduk masuk gol keempat Barca selain turut memainkan peranan untuk mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan Antoine Griezmann pada lewat permainan.


Tidak seperti Ronaldo, Messi mencipta rekod 25 jaringan itu secara berturut-turut bermula dalam musim 2009-10.


Ketika Ronaldo memperoleh musim-musim berkenaan ketika mewakili Manchester United, Real Madrid dan kelab terbarunya, Juventus, di mana dia menjaringkan 25 gol dalam Serie A musim ini, Messi pula melakukannya dengan hanya bersama Barcelona.


Dua jaringannya awal pagi tadi juga menamatkan rekod buruk Messi dalam perlawanan liga menentang Getafe di laman sendiri. Dia sebelum ini tidak pernah menjaringkan gol ketika menentang lawan itu dalam tiga pertemuan terakhir di Camp Nou, rekod terpanjangnya tanpa jaringan di laman sendiri dalam kejohanan itu.


-Astro Awani