top of page
  • newsatmy

Mimi Lana sanggup tarik diri daripada penggambaran Dior sebab..

23 Mei 2021

SEBAGAI tanda solidariti kepada Palestin, pelakon Mimi Lana sanggup menarik diri daripada penggambaran yang ditawarkan oleh sebuah jenama terkenal antarabangsa, Dior.


Pelakon yang popular dengan filem Pusaka itu menyatakan antara sebab penarikan diri daripada penggambaran tersebut adalah kerana jenama terkenal itu membatalkan kontrak model antarabangsa Bella Hadid kerana lantang memperjuangkan hak penduduk Palestin.


Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 25, berkongsi berita tersebut di laman Twitter pada Jumaat.


"Perkara yang kecil namun sangat besar maknanya. Saya berjuang untuk saudara Palestin saya dan untuk Bella.


"Saya dapat tahu jenama itu menarik keluar nama Bella Hadid sebab menyokong Palestin. Ia sangat sensitif buat warga Islam di negara ini jika saya buat sebarang hantaran mengenai Dior," katanya melalui satu tangkap layar yang dimuat naik di Twitter.


Rata-rata peminat yang mengikuti perkembangan Mimi, sangat gembira dan menyokong tindakan pelakon tersebut.


Pada masa sama, Mimi juga menyatakan jika ikutkan dirinya, banyak lagi tawaran yang dia ingin tolak namun kerana semuanya sudah ditandatangani dan mempunyai kontrak, dia akan cuba untuk menolaknya secara baik.


Baginya, jika niatnya betul pasti urusannya akan dipermudahkan oleh Allah SWT.


Selain Mimi Lana, antara selebriti Malaysia yang turut menunjukkan sokongan kepada Palestin ialah Noh Hujan, Caprice, Heliza Hilmi, Diana Amir, Syamel, Ernie Zakri, Faizal Tahir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.


Baru-baru ini, Bella Hadid dikatakan tidak lagi dinamakan sebagai wajah jenama barangan mewah Perancis itu kerana kelantangannya dalam menzahirkan sokongan terhadap Palestin.


Bella juga menjadi antara bintang ternama turun padang bagi melakukan protes dan mempertahankan Palestin daripada terus dizalimi rejim Zionis.


-Astro Awani

bottom of page