top of page
  • newsatmy

Minat TMJ untuk taja, tingkatkan motivasi Hafizh Syahrin baiki prestasi

9 Jun 2021

KUALA LUMPUR - Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui teruja dan terharu apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan minat untuk menaja beliau.


Pelumba berusia 27 tahun itu, berkata ia sudah pasti meningkatkan motivasinya dalam menghadapi perjalanan karier yang semakin sukar sejak 2019.


"Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan ini, walaupun belum membantu, kata-kata positif baginda memberikan saya semangat untuk teruskan dalam sukan permotoran ini. Kita pun tahu semua negara dilanda pandemik COVID-19, jadi ada sponsor tarik diri dan tidak dapat beri sokongan seratus peratus.


"Buat masa ini, saya memang guna duit poket saya sendiri, beli tiket kapal terbang, latihan dan tempat tinggal. Perkara-perkara begini menyukarkan keadaan saya, apapun, saya buat yang terbaik bersama pasukan NTS RW Racing GP," katanya kepada Bernama hari ini.


Tunku Ismail bertitah demikian dalam reaksi balasnya terhadap satu soalan yang dilontarkan seorang pengguna Instagram Sabtu lepas, mengenai sama ada baginda berminat untuk menaja Hafizh Syahrin.


Hafizh berkata buat masa ini, belum ada sebarang perbincangan dan beliau juga tidak pasti bentuk bantuan yang akan dihulurkan Tunku Ismail, tetapi berharap untuk menghadap TMJ selepas pulang ke tanah air.


Beliau turut menghargai usaha pasukan NTS Racing, yang menurutnya sangat positif dan bermotivasi tinggi untuk memperbaiki prestasi pasukan dalam setiap perlumbaan.


Hafizh merekodkan keputusan terbaiknya musim ini pada 30 Mei lalu, apabila menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dalam Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello.


Bagaimanapun, pada GP Barcelona di Litar Catalunya pada hujung minggu lepas, beliau terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-20 berikutan fairing (reraut) aerodinamik baru pada jenteranya telah menyebabkan suhu meningkat secara mendadak sekali gus menjejaskan kelajuan.


"Saya akui aerodinamik fairing baru ini memang advantage (kebaikan) dan ujian pasukan di wind tunnel (terowong angin) dapati 10 peratus lebih baik dari segi top speed (kelajuan maksimum) berbanding fairing lama. Tetapi kita tidak jangka pada hari perlumbaan, suhu meningkat dan menyebabkan perlahan 10-15km sejam lebih berbanding jentera lain," katanya.


Hafizh kini menduduki tangga ke-23 di kejuaraan dunia Moto2 dengan lapan mata selepas tujuh perlumbaan musim ini.


-- BERNAMA


bottom of page