top of page
  • zaman

Misi PAS pertahan 3 negeri, kekal kedudukan di pusat


ALOR SETAR,4 Sept: Misi PAS pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 mempertahankan kemenangan di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta memperluaskan pengaruh di negeri-negeri lain. Naib Presidennya, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata parti itu juga memastikan supaya kedudukan dalam kerajaan Persekutuan terus kekal. Katanya dalam tempoh dua tahun lebih buat pertama kali PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan selepas meninggalkan kerajaan Pusat pada 1977. “Di zaman moden ini pertama kali kita menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat walaupun dengan jumlah yang kecil, jadi kita kena pastikan supaya keberadaan di pusat terus kekal.


“Ibarat orang yang berjalan kita terus melangkah ke hadapan dan kita tidak boleh undur ke belakang, terus melangkah supaya kedudukan kita kekal dan menjadi semakin kukuh,” katanya ketika memberi taujihat pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS, di Kompleks PAS Kedah, di sini, malam tadi.


Hadir sama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat merangkap Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor,


Selain itu, Ketua Penerangan PAS Pusat Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Dato’ Ahmad Yahaya, dan Ketua Dewan Muslimat PAS, Senator Nuridah Mohd Salleh.


Tambah Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, objektif ketiga memperkuatkan kedudukan di Putrajaya dengan menambah jumlah kerusi parlimen.

“Kita kena bekerja bersungguh-sungguh supaya kita mesti menang tidak kurang 40 kerusi di Parlimen. Insya-Allah dengan tiga perkara ini kita dapat menjayakan cita-cita perjuangan yang telah lama kita bawa di Malaysia.

“Untuk memastikan kita boleh kekal dan bertambah kerusi di parlimen kita kena pastikan tiga negeri terbabit boleh kita pertahankan dan menang bergaya di samping meningkatkan pencapaian kita di Pahang dan di negeri lain

“Boleh jadi bagi setengah orang merasa perkara ini sukar dan mustahil tetapi kita diajar di dalam agama tidak ada yang mustahil pada zat Allah SWT,” katanya.

bottom of page