• Arissa

MITI benarkan lebih banyak kilang dibuka

9 Julai 2021

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam memutuskan lebih banyak sektor kini dibenarkan beroperasi di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor bermula semalam.


Menurut Astro AWANI, keputusan tersebut juga telah dipersetujui dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibincangkan bersama antara MITI, Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).


Sektor yang dibenarkan beroperasi adalah seperti berikut:


Elektrik dan elektronik serta rantaiannya,

Aeroangkasa (penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan),

Mesin dan peralatan yang khusus kepada pengeluaran produk kesihatan dan makanan,

Syarikat pembuatan makanan dan minuman utama


Langkah tersebut diambil atas alasan sektor-sektor ini dilihat sebagai penting dalam rantaian bekalan antarabangsa dan tempatan.


"MITI ingin memaklumkan keputusan ini dibuat berikutan peranan sektor-sektor ini yang penting dan signifikan dalam menyokong pengeluaran produk-produk di dalam rantaian bekalan global serta pengeluaran kritikal bagi sektor kesihatan dan makanan dan minuman di dalam negara,” katanya.


Menurutnya lagi, syarikat-syarikat dalam sektor terbabit boleh memulakan semula operasi dengan menggunakan surat kelulusan COVID 19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 sedia ada yang mempunyai akronim ‘PKP 3.0’ serta bertarikh Jun 2021 ke atas.


Senarai produk makanan dan minuman utama terbabit telah disenaraikan dalam SOP Pengilangan dan Pembuatan PKPD Selangor di laman web MITI.



--PN Online