top of page
  • newsatmy

MOM sokong penuh angkat berat dikembalikan sukan teras


BIRMINGHAM,7 Ogos: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyokong penuh sukan angkat berat dimasukkan semula ke dalam program sukan teras atau latihan berprestasi tinggi. Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kemasukan semula angkat berat ke dalam program sukan teras wajar setelah pencapaian mereka membawa pulang dua emas dan satu perak pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 merupakan titik tolak kebangkitan semula serta kegemilangan sukan itu.


Beliau juga memuji kepimpinan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) di bawah Presidennya Datuk Ayub Rahmat kerana angkat berat dilanda isu doping sewaktu beliau mengambil badan induk sukan itu.


Malah, katanya PABM telah mengambil keputusan drastik tidak akan menghantar atlet bertanding ke luar negara selagi mereka tidak membersikan diri daripada isu bahan terlarang berkenaan.


Dalam saingan di Pusat Pameran Nasional (NEC) Birmingham di sini, skuad bimbingan Yon Haryono itu meraih emas menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55 kilogram (kg) dan Muhamad Aznil Bidin (61kg) manakala Muhammad Erry Hidayat menyumbang perak dalam kategori 73kg.


Sebagai rekod, angkat berat menjadi antara tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras negara selain sepak takraw dan taekwondo pada 2017, susulan prestasi sukan angkat berat yang semakin merosot serta pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping.


Pada temasya kali ini, skuad negara menghantar tujuh peserta termasuk dua wanita.

Selain Muhamad Aznil, Mohamad Aniq dan Muhammad Erry, atlet lain adalah Mohamad Nasir Roslan (81kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109kg), Elly Cascandra Engelbert (55kg) dan Marceeta Marylyne Marcus (59kg). – BERNAMA

bottom of page