• newsatmy

Moody's semak semula unjuran penarafan kepada positif bagi industri tenaga global

27 April 2021

KUALA LUMPUR: Prospek untuk industri tenaga global telah berubah kepada positif daripada stabil, kata Moody's Investors Service dalam satu nota penyelidikan yang diterbitkan pada Isnin.


Peningkatan harga komoditi yang berterusan berikutan ekonomi global yang semakin baik akan mempercepatkan pemulihan dalam asas industri bagi tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.


Moody's mengekalkan harga komoditi jangka sederhana antara US$45-US$65 (US$1 = RM4.10) setong untuk minyak dan US$2.00-US $ 3.00 / untuk setiap juta unit thermal British (MMBtu) bagi gas asli Henry Hub.


"Permintaan pengguna yang meningkat dan lonjakan aktiviti perdagangan dan pembuatan ketika pandemik COVID-19 berada dalam kawalan mendorong pemulihan aktiviti ekonomi global," kata Naib Presiden Kanan Moody's, Elena Nadtotchi dalam laporan tersebut.


Justeru, ia mempercepatkan kadar pemulihan bagi minyak dan gas pada akhir 2021 dan awal tahun 2022, katanya.


Pengeluar akan menumpukan pada modal dan kecekapan operasi untuk menghasilkan aliran tunai yang lebih kukuh, membayar hutang dan mengukuhkan kualiti kredit mereka secara keseluruhan berikutan tahun 2020 yang sangat mencabar.


Keadaan asas yang sederhana menunjukkan arah yang stabil untuk perkhidmatan medan minyak (OFS) dan sektor penggerudian bagi dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang dalam persekitaran pertumbuhan permintaan perkhidmatan yang rendah.


Moody's berkata syarikat OFS yang besar akan melihat peningkatan aliran tunai yang sederhana dan akan memperoleh bahagian pasaran semasa pemulihan, manakala syarikat yang lebih kecil, serantau dan berfokus pada perkhidmatan yang tidak mempunyai kecairan yang mencukupi sementara menunggu pemulihan sepenuhnya berkemungkinan akan mempertimbangkan untuk memfailkan muflis.


Moody's juga memberitahu bahawa prospek industri mencerminkan pandangannya mengenai keadaan perniagaan asas untuk industri dalam tempoh 12-18 bulan akan datang.


Memandangkan prospek mewakili pandangan pada masa depan mengenai keadaan perniagaan yang menjadi faktor penarafan Moody;s, prospek negatif (positif) menunjukkan bahawa tindakan penarafan negatif (positif) adalah lebih cenderung secara purata, katanya.


"Bagaimanapun, prospek industri tidak mewakili jumlah peningkatan, penurunan atau penilaian yang dikaji, atau prospek penarafan penerbit dalam industri secara purata, sebaliknya penilaian kami terhadap arah utama asas perniagaan dalam industri secara keseluruhan." kata Moody's.


-- BERNAMA