top of page
  • Writer's pictureNihaba

Moratorium bersasar atau secara automatik

16 Jun 2021

Baru-baru ini, persatuan-persatuan perniagaan utama di Malaysia bergabung dalam satu kenyataan bersama untuk menuntut agar kerajaan memberikan moratorium pinjaman bank secara automatik dan menyeluruh. Selain itu mereka menggesa agar moratorium ini diberikan sehingga 31 Disember atau setelah negara mencapai imuniti kelompok Covid-19.


Antara yang dituntut mereka adalah mekanisme moratorium itu meliputi semua kemudahan peribadi, dikenakan faedah sifar, tanpa caj dan diberi pilihan untuk tidak mengambilnya, sama dengan yang diberikan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac tahun lalu.


Gabungan yang dikenali sebagai gabungan inisiatif Moratorium Untuk Rakyat mengatakan bahawa pakej rangsangan terbaru kerajaan (Pemerkasa Tambahan) itu tidak mencukupi. Mereka beranggapan kegagalan melaksanakan moratorium pinjaman penuh akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan.


Memang benar, tidak ada yang terlepas daripada pandemik Covid-19, justeru semua seharusnya layak untuk mendapat moratorium, lebih-lebih lagi mereka yang mengusahakan sektor perniagaan. Keberadaan mereka di dalam situasi sulit dan sukar dari segi kewangan ditambah pula dengan gelombang-gelombang baru pandemik Covid-19 yang sepertinya tiada kesudahannya. Justeru itu, semua seharusnya layak untuk mendapat moratorium.


Daripada usul yang dibawa oleh mereka, moratorium yang diusulkan oleh gabungan ini berkemungkinan akan menelan belanja di dalam RM6.4 bilion, iaitu hanya tujuh peratus daripada keuntungan tahunan tiga tahun mereka, atau 20 peratus daripada keuntungan 2020 mereka. Jika dilihat daripada keuntungan yang diperolehi oleh pihak bank yang diumumkan sebanyak RM93 bilion sejak tiga tahun lalu, sektor perbankan harus mengambil pendirian moral dan ke hadapan ketika negara berada dalam krisis pandemik Covid-19 ini.


Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) juga mempunyai pendapat yang sama. Mereka juga mencadangkan agar skop moratorium di bawah Pemerkasa PLUS diperluaskan kepada kumpulan M40 dan semua jenis perniagaan yang meliputi semua kemudahan peribadi termasuk pinjaman untuk overdraf, gadai janji, kenderaan dan kad kredit. Di dalam suatu kenyataan, Presidennya, Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata susulan sekatan pergerakan penuh yang telah memasuki minggu kedua, kesan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro telah mencapai tahap maksimum dengan kebanyakkan majikan terpaksa bergelut untuk terus bertahan. Ini berikutan maklum balas daripada para majikan kepada MEF yang rata-rata maklum balas yang diterima tertumpu kepada situasi perniagaan mereka yang sudah tidak lagi mampan.


Namun, keuntungan yang dicatatkan institusi perbankan dalam tahun kewangan yang lalu bukanlah bermakna bantuan bayaran balik pinjaman boleh diberikan secara sewenang-wenangnya. Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid di dalam kenyataannya, orang ramai perlu membezakan keperluan moratorium sebagai satu instrumen membantu rakyat dan bank pula sebagai sebuah entiti perniagaan yang bermotifkan keuntungan. Jelas beliau, perbahasan berkenaan keperluan moratorium pukal perlu dilihat dalam konteks ia sebagai instrumen dasar untuk membantu rakyat, sama ada ia pilihan terbaik untuk tujuan tersebut atau tidak, dan ia perlu dilakukan secara bersasar kerana jika bantuan tidak bersasar dilaksanakan, maka berlakulah pembaziran yang tidak sepatutnya.


Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia, Datuk Abdul Farid Alias berkata pihak bank terbukti telah bersifat amat akomodatif menerusi kemudahan skim bantuan bayaran balik masing-masing yang berbeza. Pendekatan secara bersasar ini membolehkan bank-bank melindungi sebahagian modal agar dapat memainkan peranan di peringkat pemulihan dengan lebih berkesan. Modal ini adalah terhad dan perlu dimanfaatkan dengan secara wajar. Beliau yang juga presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Maybank, menyifatkan moratorium bersasar adalah penyelesaian terbaik berbanding pemberian moratorium automatik atau secara menyeluruh yang sebaliknya menyalurkan bantuan kepada semua, termasuk golongan mewah serta mereka yang mana pendapatan atau gaji mereka tidak terjejas.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di dalam kenyataannya berkata, peminjam yang layak memohon kemudahan moratorium ini terdiri mereka yang kehilangan pekerjaan sama ada daripada kumpulan B40, M40 dan T20, penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi berikutan sekatan pergerakan penuh. Malah, peminjam M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan juga boleh memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman mereka sejajar dengan pengurangan pendapatan. Peminjam yang terkesan boleh menghubungi bank mereka untuk memilih apa yang mereka mahukan dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Bukan itu sahaja, Institusi Perbankan turut menyediakan pakej khusus untuk peminjam yang terjejas. Komitmen institusi perbankan juga harus diberikan pujian di dalam memproses pakej ini dengan cara mudah dan berkesan. Tambahnya lagi, pengumuman moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam terkesan itu adalah hasil perbincangan secara kolektif diantara Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank kerana kerajaan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan moratorium yang boleh disediakan oleh bank atau bagaimana ia akan dilaksanakan.


Seperti petikan kenyataan-kenyataan mereka yang secara langsung terlibat dengan isu pemberian moratorium ini, yang pastinya, kemudahan moratorium akan dilaksanakan oleh semua sektor perbankan, cuma yang menjadi pertikaian adalah kewajaran kemudahan ini diberikan secara otomatik ataupun perlukan permohonan seterusnya diproses dan diberikan kelulusan secara bersasar.


Kenapa ia perlu dilakukan secara bersasar? Biasanya, inilah soalan yang sering diajukan oleh lapisan masyarakat yang terkesan dari segi kewangan ketika krisis pandemik Covid-19 ini. Pada saya, ia perlu dilaksanakan secara bersasar atas sebab kemudahan ini tidaklah bermakna kita tidak perlu membayar pinjaman yang dibuat, tetapi lebih kepada menangguhkan proses pembayaran yang ditetapkan oleh pihak perbankan berserta kadar faedah tambahan yang akan distruktur semula. Jelas, liabiliti peminjam akan bertambah jika sewenang-wenangnya pihak perbankan meluluskan kemudahan moratorium ini secara automatik. Bukan semua yang bersetuju untuk menanggung tambahan hutang akibat pertambahan kadar faedah dan itulah sebabnya pihak perbankan memilih kaedah kelulusan moratorium ini melalui permohonan dan diberikan alternatif sama ada memilih moratorium atau pengurangan pembayaran 50 peratus selama 6 bulan.


Kedua, kebanyakan saham institusi perbankan dimiliki oleh institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang mana keuntungan bank-bank akan disalurkan kepada institusi ini, dan akhirnya memanfaatkan rakyat melalui pemberian dividen. Seperti kenyataan Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia Datuk Abdul Farid Alias, pendekatan secara bersasar ini membolehkan bank-bank melindungi sebahagian modal agar dapat memainkan peranan di peringkat pemulihan dengan lebih berkesan dan seterusnya tidak memberikan risiko kerugian kepada mereka seterusnya memberi pulangan kepada rakyat melalui sumbangan dividen kepada institusi-institusi berkepentingan yang dimaksudkan tadi.


Ketiga, kita perlu meneliti motif dan tujuan kerajaan memberikan kemudahan moratorium ini kerana pada saya ia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberikan ruang dan waktu kepada mereka yang terkesan untuk mencari jalan keluar kepada masalah yang sedang dihadapi berkaitan pandemik Covid-19. Wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar hutang dapat digunakan untuk tujuan lain seperti membeli keperluan asas atau sebagai modal untuk mendapatkan pekerjaan baharu. Ini lebih menjurus kepada golongan yang terkesan. Seeloknya, mereka yang tidak terkesan sebaiknya melunaskan hutang mengikut jadual yang ditetapkan. Ini bukan sahaja mengurangkan hutang, rekod pembayaran juga akan menjadi lebih baik. Apabila rekod pembayaran adalah baik, lebih mudah untuk membuat pembiayaan baharu terutamanya bagi mereka yang ingin membeli rumah kedua dan kenderaan seterusnya.


Akhir sekali, komitmen menyeluruh pihak perbankan di dalam memproses permohonan daripada mereka yang memilih untuk mendapatkan kemudahan moratorium dengan lebih mudah dan efektif. Peminjam yang terkesan boleh menghubungi bank mereka untuk memilih apa yang mereka mahukan dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Malah ia tidak lagi tertakluk kepada golongan B40 tetapi permohonan telah dibuka sepenuhnya kepada semua golongan yang terkesan sama ada daripada kumpulan M40 dan T20, penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam kategori dan sektor yang tidak dibenarkan beroperasi berikutan sekatan pergerakan penuh. Jika moratorium bukan pilihan, mereka boleh sahaja memilih untuk pengurangan bayaran ansuran rentetan daripada pengurangan pendapatan implikasi daripada pandemik Covid-19 ini.



Mohammed Nizam Bin Hassan.



--PN Online

bottom of page