top of page
  • newsatmy

Moratorium: Kini bola di tangan Bank Negara Malaysia - Penganalisis Ekonomi

28 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai kuasa mengarahkan bank komersil melaksanakan moratorium penuh ketika rakyat dan perniagaan berdepan tekanan dasyat akibat pandemik COVID-19.


Menurut Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan PERKESO Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, sudah tiba masanya bank memainkan peranan moral mereka, untuk bersama membantu rakyat yang berdepan kesesakan ekonomi akibat pandemik ini.


"Dari segi badan kawal selia bank perdagangan dan komersil swasta, ia tertakluk kepada bidang kuasa Bank Negara Malaysia. Apa sahaja arahan termasuk berkaitan moratorium tertakluk kepada kuasa Bank Negara Malaysia.


"Bank Negara Malaysia boleh meminta pihak bank untuk melaksanakan moratorium," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.


Malah Yusof sifatkan krisis ekonomi ketika ini tidak sama seperti krisis kewangan 1997/1998 yang mana bank mengalami kerugian besar.


"Jika bank terkesan seperti dahulu (krisis kewangan 1997), mereka tidak akan untung berbilion ringgit.


"Kesudian bank memberikan moratorium ini juga akan memberikan imej yang baik dan mewujudkan keyakinan rakyat kepada bank bahawa bank bersama dengan mereka ketika mengharungi krisis pandemik ini," katanya.


Yusof berkata moratorium bersasar yang dilaksanakan pada ketika ini adalah tidak inklusif kerana terdapat banyak kelompongan dan titik buta yang tidak boleh dicerap oleh data untuk memberikan gambaran sebenar keadaan rakyat.


"Ini adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, bukan berskala kecil. Kaedah moratorium kini tidak inklusif dan banyak titik buta yang kita tidak boleh cerap datanya.


"Faktanya jelas, hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 2019 adalah 82 peratus. Jika moratorium ini diwujudkan, ia akan berikan kelegaaan kepada peniaga dan isi rumah.


"Krisis ekonomi kali ini tidak inklusif kalau hanya satu pihak sahaja menanggung sementara satu pihak lagi seperti biasa (tidak ada kesan). Risiko ekonomi tidak dikongsi sama rata oleh kedua pihak (bank dan peminjam). Kesamarataan itu penting,"katanya.


Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Sabtu memaklumkan bakal mengumumkan bantuan kewangan berbentuk moratorium dan i-Sinar tidak lama lagi.


- Astro Awani

bottom of page