• Nur Farhana Abdullah

MOTAC kenal pasti negara berpotensi untuk gelembung perjalanan dengan Malaysia

6 Februari 2021

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengenal pasti beberapa negara, antaranya ialah Brunei, Singapura, Thailand, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, sebagai negara berpotensi untuk dibabitkan dalam gelembung perjalanan dengan Malaysia.


Sehubungan dengan itu, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Luar bagi meneliti potensi tersebut.


Beliau berkata negara-negara berkenaan dikenal pasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.


“Pelaksanaan ini bagaimanapun tertakluk kepada perbincangan dua hala dan pertimbangan mengenai aspek kesihatan, imigrasi, pengesanan data dan pemantauan berterusan oleh agensi yang berkaitan bagi negara-negara ini,” dalam kenyataannya hari ini.


Selain itu, beliau juga berkata sebagai Pengerusi Suruhanjaya bagi Rantau Asia Timur & Pasifik dalam Jawatankuasa Krisis Pelancongan Global, Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bersatu (UNWTO), Malaysia turut menyuarakan tentang cadangan ketelusan dan penyeragaman prosedur operasi standard merentas sempadan oleh negara-negara yang selamat, bagi memudahkan perjalanan dengan mengambil kira pandangan agensi-agensi kesihatan negara terlibat.


Sementara itu, Nancy turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kejayaan beliau yang mendapatkan kesepakatan Indonesia dalam membenarkan Gelembung Perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik/ Aturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA).


“Alhamdulillah, ini merupakan berita baik dan ditunggu-tunggu MOTAC,” katanya.


Nancy berkata inisiatif itu merupakan antara salah satu pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan MOTAC yang dirangka sejak Julai tahun lalu (2020) sebagai langkah permulaan bagi merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara.


Muhyiddin telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan empat mata itu ialah pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan RGL, diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani COVID-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar. – PN Online

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.