• newsatmy

MPIC galak penduduk tempatan cebur diri dalam sektor perladangan

26 April 2021

KUALA NERUS: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) terus menggalakkan penduduk tempatan khususnya golongan belia menceburkan diri dalam sektor perladangan.


Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pihaknya sentiasa membuka ruang dan peluang bagi golongan itu menyertai bidang berkenaan dengan pelbagai kelebihan yang menanti.


Katanya, ini adalah peluang keemasan terutamanya kepada mereka untuk bekerja.


"Anak muda yang mungkin tidak ada peluang untuk pendidikan akademik yang tinggi dan mereka terpaksa bekerja di pelbagai sektor, kita menyatakan peluang untuk mereka ialah di sektor perladangan dengan pendapatan boleh menjangkau RM3,000 dengan disediakan penempatan yang baik dan keselesaan persekitaran hidup yang baik," katanya.


Beliau berkata, pihaknya juga giat mengadakan kempen bagi menarik minat penduduk tempatan mengisi kekosongan jawatan dalam sektor berkenaan.


Justeru, bagi mereka yang berminat untuk mengisi kekosongan itu boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web kementerian, syarikat-syarikat perladangan negara atau melalui JobsMalaysia.


Sementara itu, Khairudin berkata kementeriannya turut memohon untuk mendapatkan 32,000 pekerja asing sebagai penuai buah sawit tidak lama lagi.


Jelasnya pihaknya kini sedang menunggu keputusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Sumber Manusia.


-Astro Awani