top of page
  • admin

MPN beri cadangan untuk negara tapi UMNO ‘serang’ Muhyiddin


PENULIS sudah agak apabila Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bentangkan fakta kegagalan kerajaan melaksanakan beberapa cadangan penting majlis itu dalam usaha memulihkan negara bekas Perdana Menteri (PM) itu pasti ‘akan diserang’ pemimpin UMNO.


Bagaimanapun dalam keghairahan ‘menyerang’ Muhyiddin ada antara hujah mereka menampakkan keangkuhan dan bagaikan ‘meludah ke langit’.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebahagian besar masalah yang dihadapi kerajaan pada masa kini adalah diwarisi daripada kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN)

.

Penulis tidak faham apa masalah yang dimaksudkan Khaled? Kalau soal ekonomi, memanglah sebab ia impak pandemik Covid-19 tetapi perlu diingat keadaan sebelum ini stabil tetapi semakin buruk ketika ini. Tidak perlu dibentangkan fakta itu, sebagai golongan cerdik pandai Khaled pasti boleh mengkajinya sendiri.


Bagaimanapun tidak mengapa jika Khaled tetap mahu menyalahkan Kerajaan PN tetapi beliau juga berkata;


“Muhyiddin harus ingat bahawa dirinya juga sebahagian daripada kerajaan dan perlu bertindak dalam semangat yang kolektif. Sikap menuding jari ini jelas menunjukkan beliau hanya mampu menyalahkan orang lain atas kelemahan cadangan dan hasil kerjanya.”

Kata Khaled lagi, “Jadi, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan. Saya percaya PM dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberikan yang terbaik bagi berhadapan dengan segala masalah negara.”


Kenapa ‘semangat’ itu tidak diperkatakan apabila pada awal pagi 8 Julai 2021, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menyenaraikan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin yang dijadikan alasan untuk UMNO menarik diri?


Masihkah kita ingat antara kegagalan yang didakwa oleh UMNO ialah menangani pandemik Covid-19, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan.


Bukankah ketika itu kerajaan juga dianggotai oleh UMNO? Bukankah ketika itu menteri-menteri UMNO memainkan peranan cukup penting dalam menangani pandemik Covid-19? Kalau gagal maknanya keseluruhan Kabinet lah gagal bukan Muhyiddin seorang sahaja?

Kenapa ketika itu tidak beri peluang ruang kepada Muhyiddin memulihkan negara? Ia memandangkan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) sedang berjalan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga sudah dirangka, hanya menanti untuk dilaksanakan.


Seorang lagi pemimpin UMNO yang ghairah membidas Muhyiddin ialah Presiden UMNO yang menegaskan, MPN tidak mempunyai fungsi jelas dan bertindih dengan agensi kerajaan lain dan hanya digunakan Muhyiddin sebagai platform propaganda politiknya.


“Seperti saya katakan sebelum ini, MPN perlu dibubar kerana fungsinya tidak jelas, tidak perlu, malah bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi Kerajaan lain yang bertindak sebagai penasihat serta pelaksana.


“Selain itu, pengerusi MPN yang bukan Perdana Menteri dilihat melemahkan majlis itu sendiri. Meskipun MPN dianggotai pakar… namun keberadaan pengerusi MPN yang bukan ketua eksekutif menjadi sebab pelaksanaan cadangan majlis itu kurang tekad politik dan mungkin juga dilihat tidak perlu.


“Pengerusi MPN pula menggunakan majlis itu sebagai platform untuk mengabsahkan propaganda politiknya. Sering sahaja di kempen politik PRN Melaka dan PRN Johor, dia menggunakan cadangan MPN sebagai peluru politik dalam kempennya dengan menggambarkan seakan kerajaan akan gagal jika cadangannya tidak dilaksanakan,” kata Zahid yang turut menegaskan, MPN akan dibubarkan jika Barisan Nasional (BN) PRU-15.

Tak apalah, kalau belum menangpun dah beri amaran, nak bubar itu nak bubar ini tetapi adakah Zahid bercakap berdasarkan fakta atau ‘mengabsahkan propaganda politiknya’ bagi memburukkan Muhyiddin?


Sekali lagi penulis bertanya memandangkan Zahid berkata, Pengerusi PN “menggunakan majlis itu sebagai platform untuk mengabsahkan propaganda politiknya.” Malah Zahid juga berkata, Muhyiddin tidak sepatutnya merungut jika ada cadangan MPN yang ditolak.


“Adat memberi cadangan, jika diterima kita bersyukur dan jika tidak, mungkin ada cadangan yang lebih baik…Dengan kerajaan yang melaksanakan 16 daripada 69 cadangan MPN, menunjukkan kerajaan masih mengambil serius pandangannya meskipun kewujudannya tidak jelas, tidak perlu dan bertindih,” katanya.


Kenapa ‘tidak bersyukur’ apabila Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan untuk rakyat termasuk kepada syarikat-syarikat dan majikan-majikan? Bersyukurlah pada masa itu dan terimalah hakikat kerajaan PN pada itu mempunyai cadangan dan pendekatan lebih baik…tetapi kenapa ia tidak berlaku?


Dalam soal propaganda politik pula, Zahid tidak wajar membuat tuduhan melulu. MPN bukan dikuasai Muhyiddin seorang, MPN bukan dianggotai oleh ahli Parlimen BERSATU atau Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, sebaliknya seperti mana ditegaskan oleh Muhyiddin kelmarin,;

“Majlis itu dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerjaraya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan pakar-pakar ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk wakil daripada parti-parti pembangkang.”


Kalau Zahid berkata Pengerusi MPN yang bukan Perdana Menteri dilihat melemahkan majlis itu, harap beliau juga bertanya apa status Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) ketika ini? Dalam situasi ekonomi sekarang diharapkan AEC akan bermesyuarat setiap minggu kerana ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri.


Sebab seperti mana kata Muhyiddin, beliau tidak menuding jari kepada sesiapa kerana;

“Tujuan saya ialah supaya semua pihak sedar bahawa negara kita tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini. Petunjuk-petunjuk positif ini adalah sementara sebelum negara kita berhadapan dengan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan. Jika langkah-langkah segera tidak diambil untuk memperbaiki keadaan, rakyatlah yang akan menanggung sengsara.”


Justeru lebih baik pemimpin UMNO beri nasihat kepada PM berhubung persediaan bagi menghadapi kemelesetan ekonomi tahun depan daripada ‘serang’ Muhyiddin. Selain itu minta PM tengok-tengokkan perakuan MPN yang sudah diluluskan dilaksanakan segera, ia demi kebaikan rakyat dan negara, bukan sekadar bertaburan atas meja pak menteri atau ketua jabatan.


Insha-Allah Ismail Sabri sebagai ‘poster boy BN’ pasti akan mendengarnya apatah lagi dah heboh ‘pembubaran Parlimenpun dah tak sampai dua minggu lagi. Betul tak?

Penulis adalah Zulkiflee Bakar

bottom of page