• newsatmy

MPT Bersatu Mahu Terus Perkukuh Kerajaan PN

7 Januari 2020

KUALA LUMPUR 7 Jan. — MESYUARAT Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diadakan semalam dan dipengerusikan oleh President BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan parti itu akan terus memperkukuhkan kerjasama politik bersama parti anggota Perikatan Nasional (PN).


Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan berkata parti itu mahu mempertahankan kerjasama politik yang telah dipersetujui bersama parti-parti dalam kerajaan PN.


Dalam sebuah kenyataan semalam, Wan Saiful berkata BERSATU akan terus komited untuk tetap memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir.


Anggota PN yang lain termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), dan Parti Maju Sabah (SAPP).


Berpaksikan kepada agenda penyatuan ummah dan perpaduan seluruh rakyat, BERSATU mahu kerjasama itu tetap diteruskan dengan adil dan saksama bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan agama, bangsa dan budaya.


“Tindakan beberapa pihak yang terus menerus melakukan percaturan politik dalam keadaan rakyat sedang melalui dugaan besar ada sesuatu yang tidak tepat pada masanya,” katanya.


”BERSATU berpendirian pilihan raya umum hanya wajar dilaksanakan apabila perkembangan pandemik berada di tahap lebih baik dan terkawal.


“Agenda utama BERSATU ketika ini adalah untuk menumpukan segala usaha serta tenaga bagi menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.


Dalam mesyuarat yang sama, BERSATU bersetuju untuk menganjurkan siri jelajah BERSATU 2021 dalam masa terdekat untuk memberi penerangan kepada rakyat berkenaan isu-isu semasa.