• newsatmy

MPUPK bantu segerakan pemulihan PKS

4 Mei 2021

KUALA LUMPUR : Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederhana (MPUPK) akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif bagi membantu menyegerakan pemulihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melibatkan semua pemegang taruh dalam ekosistem keusahawanan.


Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, MPUPK berperanan meluluskan dasar, strategi dan pelan tindakan berhubung pembangunan holistik usahawan dan PKS merentasi semua sektor ekonomi.


"Melalui MPUPK, penglibatan sektor swasta akan dipertingkatkan bagi menyokong agenda pembangunan keusahawanan negara yang berdaya saing dan mampan.


"Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menekankan pentingnya semua pihak untuk mengambil tindakan proaktif dalam memastikan semua program dan inisiatif di bawah pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan dilaksanakan secara teratur dan mengikut jadual.


"Perdana Menteri yakin dengan kerjasama dan sokongan padu semua pihak, usahawan dan PKS tempatan akan mampu bangkit semula dan kekal kompetitif dalam mendepani cabaran yang mendatang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Ujarnya, MPUPK turut memberi penelitian terhadap prestasi dan prospek ekonomi Malaysia serta isu dan cabaran yang dihadapi bagi tahun 2021.


"Dalam hal ini, majlis turut menekankan supaya aktiviti dan ekosistem pembiayaan perniagaan dari sektor kewangan perlu lebih kondusif bagi menyokong pemulihan ekonomi negara.


"Selain itu, dasar dan peraturan yang mesra perniagaan perlu diutamakan supaya ianya selari dengan usaha kerajaan untuk memulihkan operasi perniagaan usahawan," jelasnya.


Di samping itu, usahawan juga perlu bersedia untuk mengadaptasi teknologi dan digitalisasi supaya dapat kekal relevan dan kompetitif dalam menangani cabaran di masa hadapan.


-Astro Awani