top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

MT UMNO tidak boleh atasi keputusan PAU - Nazri

3 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO tidak boleh mengatasi keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), tegas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.


Nazri berkata, keputusan PAU 2020 adalah tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) apabila Parlimen dibubarkan.


“Keputusan itu dibuat berdasarkan usul yang dibentangkan ketika PAU tempoh hari.


“PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO, jadi sekiranya Majlis Kerja Tertinggi nak ubah keputusan PAU maka perlu panggil perhimpunan khas untuk buat keputusan baharu,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Jumaat menerusi telefon.


Nazri berkata demikian sebagai mengulas laporan portal Utusan Malaysia yang mendakwa Presiden UMNO bertemu Ahli-Ahli Parlimen UMNO untuk menarik sokongan terhadap PN sebelum 1 Ogos ini.


Laporan itu menyebut lebih 10 ahli Ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dipanggil menemui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan di ibu pejabat UMNO.


Mengulas lanjut, Nazri menegaskan beliau tidak pernah dipanggil untuk berbincang tentang penarikan sokongan terhadap PN.


“Saya selaku Ahli Parlimen Padang Rengas dari UMNO tidak pernah dipanggil untuk berbincang hal berkaitan menarik sokongan terhadap PN.


“Sepatutnya semua Ahli Parlimen UMNO perlu dipanggil kerana yang menyokong kerajaan sedia ada ini adalah Ahli Parlimen UMNO,” katanya lagi.


Baru-baru ini Nazri mendedahkan beliau mengumpul 25 Akuan Bersumpah (SD) dari Ahli Parlimen Barisan Nasional yang memberi sokongan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mewakili mereka untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong.


Nazri menjelaskan sokongan kepada Hishammuddin itu diberikan kerana 25 Ahli Parlimen BN itu hilang kepercayaan terhadap Zahid.




--PN Online

bottom of page