• newsatmy

Muhammad Afwa nama anak Siti

27 April 2021

KUALA LUMPUR: Genap tujuh hari, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan nama cahaya keduanya, Muhammad Afwa, malam ini.


Menerusi hantaran di Instagram (IG), Siti memberitahu, Muhammad Afwa dipilih kerana nama itu mempunyai makna yang bersesuaian dengan kelahirannya dalam Ramadan.


"Hari ini, 26 April 2021, bersamaan dengan 14 Ramadan 1442H, anakanda saya genap berusia tujuh hari. Sunat menamakan anak yang baru lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama ini akan dipanggil pada hari akhirat kelak.


"Alhamdulillah, hari ini, suami dan saya berkongsi wajah dan nama anakanda kedua. Kami menamakan anakanda dengan nama Muhammad Afwa yang membawa makna keampunan atau kemaafan.


"Muhammad Afwa lahir pada bulan Ramadan, bulan keampunan dan dalam doa malam Lailatul Qadar juga ada menyebut afwa," katanya.


Siti juga berkongsi nama itu melengkapkan afiyah dan terdapat dalam doanya dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.


"Semoga anakanda Muhammad Afwa sentiasa dalam keampunan dan kemaafan Allah SWT dan kita semua juga dalam lindungan-Nya," tulisnya.


Terdahulu, Siti melahirkan bayi lelaki seberat 3.84 kilogram (kg) melalui pembedahan di sebuah pusat perubatan di Selangor pada 19 April lalu.


Sementara itu, tiga tahun lalu, Siti dan suami dikurniakan anak sulung, Siti Aafiyah Khalid.


-Astro Awani