• Arissa

Muhyiddin dijangka buat pengumuman khas hari ini

16 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat satu pengumuman khas hari ini berkaitan kedudukannya selaku Perdana Menteri.


Pengumuman itu akan dibuat selepas beliau menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


Sebelum itu beliau akan terlebih dahulu mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri.


Kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri menjadi pertikaian selepas didakwa hilang keabsahan.


Ini susulan tindakan 15 Ahli Parlimen dari UMNO menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpinnya.


Semalam Perdana Menteri yang juga Presiden BERSATU mempengerusikan mesyuarat khas di Publika dipercayai bagi membincangkan hala tuju sekiranya beliau meletak jawatan.


Jumaat lalu, Muhyiddin dalam satu pengumuman khas antara lain menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti lain, namun tawaran itu ditolak majoriti parti pembangkang.


Muhyiddin dilantik Perdana Menteri Februari tahun lalu, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.


Sekiranya Muhyiddin letak jawatan, ini akan membuka ruang kepada rundingan pembentukan kerajaan oleh parti politik lain.



--PN Online