• Arissa

Muhyiddin luang masa agih daging Korban

21 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa mengagihkan daging korban di ibu negara, pada petang Selasa.


Di sebalik kesibukan mengurus tadbir negara ketika pandemik, kelibat Muhyiddin dalam video tular itu mendapat pujian netizen.


Beberapa video dimuat naik di Facebook menunjukkan Muhyiddin membantu mengagihkan daging korban sempena Aidiladha di beberapa kediaman di Kampung Padang Balang, Sentul.

Muhyiddin tiba dalam keadaan santai dan menjadi kejutan kepada penduduk kampung itu yang tidak menjangka ketibaan Perdana Menteri di kediaman mereka.


Beliau juga dilihat mengunjungi penduduk kampung itu tanpa gerombolan pegawai yang menjadi kelaziman ketika lawatan anggota Kabinet dan ahli politik.


Satu video turut mencuit hati netizen, yang menunjukkan seorang kanak-kanak teruja apabila melihat Perdana Menteri tiba di hadapan pintu rumahnya bersama sebungkus daging korban.


Lebih mencuit hati apabila kanak-kanak itu secara santai memanggil Perdana Menteri dengan namanya, ‘Muhyiddin Yassin’ dan memaklumkan mengenalinya melalui kaca televisyen.


Muhyiddin yang kini mengetuai antara tempoh pentadbiran paling sukar dalam sejarah Malaysia, turut meluangkan masa beramah mesra dengan beberapa penduduk, sebelum meninggalkan kampung itu.



--PN Online