top of page
  • newsatmy

Muhyiddin Yassin ucap Selamat Deepavali tetapi sentiasa amalkan SOP


Salam sejahtera. Apa khabar semua?


Saya dan seisi keluarga dengan ikhlas hati mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Hindu.


Sambutan Deepavali kali ini sememangnya berbeza dari tahun lalu walaupun kita masih lagi berada dalam pandemik COVID-19. Jika tahun lalu kita hanya dapat meraikan bersama ahli keluarga di rumah sahaja kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan, tahun ini tidak lagi. Kita sudah boleh beraya bersama ahli keluarga dan rakan-rakan namun dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.


Ini merupakan hasil pelaksanaan dan kerjasama anda semua dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Jumlah populasi dewasa yang menerima dua dos vaksin lengkap sudah pun melebihi 95 peratus manakala sektor-sektor ekonomi dan sosial telah dibuka hampir sepenuhnya.


Seperti yang saya selalu sebutkan, usaha-usaha ke arah pemulihan negara tidak hanya boleh dilakukan oleh pihak kerajaan sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk pihak swasta dan rakyat sendiri. Kita bertanggungjawab kepada diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita.


Dengan pembukaan pelbagai sektor khususnya ekonomi, pastinya akan memberi lebih sinar kepada kita semua terutama golongan yang terjejas punca pendapatan mereka.


Saya gembira melihat orang ramai sudah keluar berbelanja seperti biasa termasuk penganut agama Hindu yang keluar membeli-belah sebagai persiapan menyambut perayaan ini.


Namun begitu, dalam kita meneruskan kehidupan seperti biasa dan meraikan apa sahaja perayaan, kita tidak boleh leka dan lupa bahawa virus COVID-19 masih lagi berada di sekeliling kita. Justeru kita perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua.


Jika kita menerima tetamu atau berkunjung ke rumah saudara mara dan rakan taulan sentiasalah beringat, pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal, elakkan bersalaman dan sentiasa mencuci tangan menggunakan sanitizer. Bagi yang bergejala, duduk di rumah dan ambil ujian saringan sebagai langkah berjaga-jaga.


Saya berharap sambutan Deepavali yang lebih meriah pada tahun ini dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum dan agama di bumi tercinta Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kestabilan dan keharmonian negara, selari dengan konsep Keluarga Malaysia.


Happy Deepavali! Deepavali Valthukkal!


YB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

bottom of page