top of page
  • newsatmy

Murid boleh berbaju biasa ke sekolah?

25 Februari 2021

Murid yang belum memiliki pakaian seragam dibenarkan untuk memakai pakaian sesuai, kemas dan sopan ke sekolah mulai 1 Mac ini.


Kementerian Pendidikan Malaysian (KPM) dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun kebenaran berkenaan akan diberikan hingga 26 Mac iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021.


“KPM berharap kebenaran ini membolehkan semua murid hadir ke sekolah bagi mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka.


“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” kata KPM dalam satu kenyataan yang dikongsi di laman Facebook Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jiddin di sini, sebentar tadi.


Mengulas lanjut, KPM berkata, kementerian berbuat demikian selepas menerima banyak pertanyaan dan maklum balas daripada ibu bapa mengenai peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan mula dibuka secara berperingkat mulai pada 1 Mac nanti.


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dilaporkan membantah cadangan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini, supaya murid kurang berkemampuan diberikan kelonggaran untuk ke sekolah tanpa memakai pakai seragam.


Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan berkata, sebagai bekas Menteri Pendidikan Maszlee sepatutnya lebih faham falsafah di sebalik tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak sekolah mewajibkan murid memakai uniform ke sekolah.


Berikutan itu, NUTP kurang bersetuju dengan murid-murid sekolah diberi kelonggaran untuk ke sekolah tanpa pakaian seragam. - PN Online

bottom of page