• newsatmy

Muzium PDRM kini dibuka semula kepada orang awam - Ketua Polis Negara

28 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terletak di Jalan Perdana di sini, mula dibuka semula kepada orang ramai sejak awal Februari lepas dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.


Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pembukaan semula muzium itu dibuat selepas kerja naik taraf bangunannya siap sepenuhnya pada 28 Jan lepas, setelah ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Mac 2020.


Bercakap kepada Bernama, beliau berkata antara pembaikan pada bangunan utama muzium ialah mengecat semula bangunan dan kerja-kerja menceriakan kawasan Dataran Perwira yang menempatkan monumen keris dan tengkolok, sebagai tanda penghormatan buat pejuang PDRM.


"Idea untuk menaik taraf Dataran Perwira (di hadapan bangunan utama) timbul daripada rasa sayang serta kecintaan yang tinggi terhadap sejarah dan artifak-artifak PDRM dan saya menzahirkan penghargaan saya kepada pengorbanan pahlawan-pahlawan terdahulu yang gugur.


"Apa yang lebih membanggakan, Dataran Perwira juga terpahat 1,180 nama perwira negara yang telah gugur dalam mempertahankan tanah air tercinta sewaktu zaman darurat sekitar tahun 1948-1960 dan ketika 1968-1990, " katanya.


Abdul Hamid berkata kereta perisai PDRM yang dipamerkan di muzium berkenaan turut dibaik pulih dan dicat semula dan ditempatkan di kawasan baharu yang berbumbung hasil sumbangan Yayasan Al Bukhary dan dua syarikat lain.


Sejarah Muzium PDRM bermula dengan wujudnya muzium pertama pada 1950-an di bangunan asalnya terletak di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan dirasmikan pada 9 Jan 1961 oleh Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail bagi tujuan pembelajaran kepada pelatih-pelatih polis.


Memandangkan fasiliti muzium pada ketika itu tidak dapat lagi menampung jumlah artifak yang semakin meningkat maka cadangan pembinaan Muzium PDRM yang baharu telah dibuat.


Maka pada 18 Feb 1983, majlis pecah tanah lokasi baharu muzium telah disempurnakan bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar pada waktu itu di bangunan Mess Vanning, di sini yang kemudiannya dirasmikan pada 24 Julai 1999 oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.


Muzium berkenaan menyimpan pelbagai artifak, antaranya senjata lama pistol flint-lock buatan British berusia lebih 300 tahun serta duit syiling Portugis yang berusia lebih 500 tahun.

Terdapat lebih 3,000 artifak seperti senjata, pistol, pedang, anak panah, meriam, kereta perisai, kenderaan pemadam api beroda, rajah, peta, pakai seragam polis zaman dahulu dan pelbagai dokumen yang dirampas dari komunis dan gambar pasukan dipamerkan buat tatapan pengunjung, agar dapat menelusuri jerit perih sejarah perjuangan pasukan keselamatan tertua negara itu.


Muzium PDRM yang terletak di Jalan Perdana di sini, dibuka kepada orang awam setiap hari kecuali hari Isnin mulai 10 pagi hingga 6 petang.


-- BERNAMA