top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

MySPC Memperluas Skim Perlindungan PERKESO

9 Jun 2021

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) secara sidang video.


MySPC yang ditubuhkan pada 2016 dan kali terakhir bermesyuarat pada Disember 2019, kini diaktifkan semula, bertujuan menyelaras agenda kesejahteraan sosial yang menyeluruh dan bersepadu khususnya agenda menangani kemiskinan.


MySPC dianggotai 15 kementerian, Ketua Setiausaha Negara, Gabenor Bank Negara dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri selaku urusetia.


Mesyuarat kali ini menumpukan kepada agenda peluasan dan pemantapan program jaringan keselamatan sosial negara antaranya melalui cadangan penambahbaikan dan perluasan skim perlindungan oleh PERKESO kepada kelompok yang tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial.


Beliau juga memberi penekanan kepada keperluan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) merentas agensi yang meliputi elemen pekerjaan, insuran sosial dan bantuan sosial.


Pangkalan data ini bakal menjadi rujukan tunggal program dan profil perlindungan sosial negara.


"Ini bertepatan dengan hasrat saya yang mahu satu pendekatan baharu yang lebih berkesan dalam menyediakan liputan perlindungan sosial lebih menyeluruh terutamanya kepada kumpulan rentan dapat disediakan," tambah beliau.


Rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 serta kelompok yang tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial negara seperti mereka yang berada dalam sektor tidak formal dan persendirian perlu dikenal pasti keperluan masing-masing agar bantuan segera yang bertepatan dapat diberikan.


Dengan jaringan keselamatan sosial negara diperkukuh dan diperluaskan melalui MySPC, beliau yakin lebih banyak isi rumah kategori miskin atau miskin tegar dapat dibantu dan dilindungi.


Bantuan sosial yang diberikan tidak harus terhad kepada bantuan tunai atau pemberian bakul makanan sahaja sebaliknya, meliputi aspek mobiliti sosial serta nilai tambah yang boleh meningkatkan pendapatan mereka.




--PN Online

bottom of page