top of page
  • newsatmy

Nabila dikecam teruk Hael tetap bangga

16 Mac 2021

SHAH ALAM: Komposer lagu Peluang Kedua, Hael Husaini tidak kecewa dengan persembahan Nabila Razali pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35, malam tadi.


Malah, Hael menganggap temannya itu sudah memberi aksi terbaik di pentas berprestij itu.


Hael tetap berbangga dengan persembahan Nabila biarpun dikecam hebat.


"Nabila sudah memberikan persembahan membanggakan bagi saya. Walaupun menerima tekanan yang hebat daripada orang ramai, Nabila tetap positif dan menggalas tanggungjawab dengan baik.


"Tidak mengapa untuk Nabila rasa kecewa kerana tidak mendapat tempat malam tadi. Itu sikap yang bagus dan akan menjadikan dia berusaha lebih keras dalam memajukan diri.


Hael bangga dengan Nabila dan yakin temannya itu akan berusaha lebih keras dalam meningkatkan keupayaan diri, selepas berakhirnya AJL35, malam tadi. Foto IG Muzik Muzik Official


"Berada dalam kelompok 12 finalis terbaik juga sudah menjadi kejayaan yang besar Nabila. Sebagai sahabat, saya sentiasa mendoakan kejayaan Nabila dan jangan sesekali berputus asa," katanya kepada BH Online.


Sementara itu, Hael yang mempertaruhkan dua lagu ciptaan pada AJL35 berpuas hati biarpun sekadar meraih tempat ketiga melalui lagu ciptaan bersama Ezra Kong, Belenggu Rindu.


"Tidak mengapa... Pembabitan saya pada AJL35 adalah sebagai anak seni. Saya hanya menjalankan tugas seperti menerusi lagu Hati, saya memikul tugas sebagai penyanyi dan pencipta lagu.


"Bagi lagu Peluang Kedua dan Belenggu Rindu, saya menjadi penulis lagu itu.


"Jadi, bagi saya, menang atau kalah, belakang cerita. Paling penting, saya berpuas hati dengan persembahan malam tadi.


"Lagipun, saya fikir AJL35 adalah malam untuk meraikan semua yang terbabit dalam bidang muzik. Jadi, kita hanya menjalankan tugas kita," katanya.


Hael pernah mengungguli gelaran Juara Lagu pada AJL32 dan AJL33 menerusi lagu Jampi dan Haram. Pada AJL34, lagu ciptaannya bersama Ezra, Anta Permana memenangi tempat ketiga.


Sementara itu, Hael meluahkan rasa beruntung dapat bekerjasama dengan rakannya, Ezra, menghasilkan lagu yang baik seperti Belenggu Rindu.


Hael berkata, lagu yang diilhamkan daripada Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita itu, bukanlah hasil kerjanya sendirian.


"Saya fikir kerjasama pasukan yang membuahkan hasil. Saya fikir beruntung memiliki rakan yang mencipta lagu baik seperti Ezra," katanya memuji sahabatnya yang merangkul trofi Juara Lagu melalui lagu Gila dendangan Noki, Loca B dan Kaka Azraff.


-Berita Harian

bottom of page